Lebih 14,000 setinggan dikenal pasti di Perak

Iklan
Saarani ketika menggulung perbahasnb Belanjawan 2025 sempena Sidang DUN Perak di Ipoh pada Khamis.

IPOH - Kerajaan negeri telah mengenal pasti sebanyak 14,280 setinggan direkodkan oleh Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan Negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak 7,493 setinggan kediaman telah diberi hak milik manakala baki 6,787 setinggan lagi diberikan Lesen Menduduki Sementara (LMS).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, LMS diberikan berikutan penempatan tersebut berada dalam kawasan rizab kerajaan seperti rizab jalan dan Sungai yang mana pemberian hakmilik kekal tidak dapat diberikan.

"Melalui inisiatif Program Setinggan Sifar yang telah dilaksanakan pada tahun 2010, pihak berkuasa negeri meluluskan pemberian LMS dengan 10 kali pembaharuan selama 10 tahun bagi setinggan kediaman di atas tanah rizab kerajaan.

Iklan

"Kerajaan negeri juga telah meneruskan inisiatif pemberian LMS dengan 5 kali pembaharuan selama 5 tahun dengan menurunkan penurunan kuasa kepada pentadbir-pentadbir tanah di Negeri Perak," katanya.

beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Saarani berkata, pihak berkuasa negeri telah melaksanakan inisiatif pemberian pajakan rizab di atas tanah rizab kerajaan bermula tahun ini.

"Ini membolehkan penduduk-penduduk kediaman setinggan di atas tanah rizab kerajaan memohon pajakan rizab tanah berkenaan dengan tempoh 10 hingga 20 tahun dengan mematuhi syarat dan proses yang dinyatakan di dalam perjanjian pajakan rizab tersebut.

"Kesemua langkah ini mencerminkan ikhtiar kerajaan negeri untuk menyantuni isu setinggan secara berhemah dan rasa tanggungjawab.

"Bagaimanapun perlu ditegaskan bahawa segala pertimbangan yang dibuat mestilah bersandarkan kepada keperluan kerajaan negeri membuat perancangan masa hadapan yang lebih tersusun di suatu-suatu kawasan," katanya.