KUANTAN - Sumber deposit emas di Pahang dianggarkan 63.44 tan metrik dengan anggaran nilai RM10.8 billion.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan anggaran Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lalu, terdapat tujuh tujuh pengeluaran emas aktif di Pahang dengan jumlah pengeluaran 720.8 kilogram bernilai RM155.6 juta.
"Jajaran emas di Pahang terbentuk dalam jaluran tengah semenanjung meliputi kawasan daerah Lipis, Raub, Maran, Pekan dan Rompin.
"Ianya wujud pada telerang-telerang hidrotermal dalam batuan metasedimen sebagai deposit emas primer dan juga bersama-sama mendapan alluvial dalam lembangan-lembangan sungai sebagai deposit emas sekunder," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chan Chun Kuang (PKR-Semambu) mengenai jangkaan deposit sumber emas yang ada di negeri Pahang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, pengiraan tempoh hayat lombong yang menentukan tempoh deposit emas tidak dapat diukur dengan tepat kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor kebolehlaksanaan seperti jumlah rizab mineral emas terukur, skala operasi perlombongan dan kadar pengeluaran lombong.
"Faktor-faktor lain termasuklah aspek ekonomi mineral, dasar dan polisi semasa serta perubahan dalam teknologi perlombongan.
"Penambahan dalam pelaburan kerja- kerja carigali yang berterusan juga akan meningkatkan jumlah hayat lombong," ujarnya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, nilai royalti pengeluaran emas di negeri ini mencecah lebih RM10 juta sehingga November lalu.
"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu hanya RM5.4 juta," katanya.