MEA peruntuk RM80 juta atasi hakisan di Terengganu

Iklan
Azmin (kiri) dan Ahmad Samsuri beramah mesra dengan salah seorang peniaga Pasar Payang selepas melakukan tinjauan hari ini.

KUALA TERENGGANU - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM80 juta bagi mengatasi masalah hakisan pantai di Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu diberikan memandangkan keperluan mendesak untuk menangani masalah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kementerian sedang meneliti secara terperinci terhadap masalah itu dan akan cuba melaksanakan projek berkenaan pada pertengahan tahun ini.

"Kerajaan Negeri telah membentangkannya dalam mesyuarat ECERDC bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada November tahun lalu kerana masalah hakisan yang semakin serius.

Iklan

"Kita melihat ia penting untuk disegerakan kerana melibatkan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya sepanjang pantai serta boleh menjejaskan sektor pelancongan negeri.

"Saya sedang teliti permohonan ini dan saya percaya selepas lawatan hari ini, kita akan cuba mulakan pada pertengahan tahun ini kerana bagi mengelakkan musim tengkujuh pada hujung tahun," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Payang dalam rangka kerja sehari di Terengganu hari ini.

Turut serta, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut Azmin berkata, antara kawasan yang mengalami hakisan yang teruk adalah di Pulau Redang, Teluk Lipat (Dungun) dan Teluk Ketapang (Kuala Nerus).

Jelasnya, projek baik pulih hakisan pantai untuk fasa kedua itu dijangka menelan belanja RM80 juta.

"Fasa pertama sebelum ini melibatkan peruntukan RM64 juta membabitkan empat 'artificial headlands' dan kita lihat keperluan untuk menyegerakan pembangunan fasa kedua.

"Walaupun projek ini tidak boleh disiapkan dalam tempoh setahun, tapi sekurang-kurangnya kerja awal dapat dimulakan sebelum musim tengkujuh," katanya.