KUALA LUMPUR - Pihak swasta digalak untuk menyediakan mesin pengimbas suhu badan di premis masing-masing terutama di pintu masuk utama bangunan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perkara itu dilihat dapat membantu kerajaan mengekang penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).
"Buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai 80 mesin pengimbas suhu badan yang diletakkan di pintu masuk antarabangsa (PMA) di seluruh negara dan jumlah itu dilihat mencukupi buat masa ini.
"Walaupun harga mesin itu agak mahal sekitar RM40,000, namun kami tetap menggalakkan pihak swasta untuk sediakan mesin itu, contohnya kalau pihak hotel dapat sediakan itu dapat membantu kami (kerajaan)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Saintifik ke-17 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2020 di sini hari ini.
Mengenai kerjasama KKM dan Singapura berhubung Covid-19, Boon Chye berkata, mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Bersama akan diumum minggu depan.
"Saya merancang untuk pergi ke Singapura atau Johor Bahru, tetapi saya perlu meneliti dahulu jadual waktu kedua-dua pihak dan jika pertemuan itu dapat diadakan minggu depan, kami akan menyokong sama ada ia akan diadakan secara bersemuka ataupun melalui sidang video,” katanya.
Sementara itu, Boon Chye berkata, KKM menyasarkan untuk mengurangkan kandungan garam sebanyak 15 peratus dalam pemakanan rakyat Malaysia tahun ini seperti yang digariskan kementerian itu dalam Strategi Pengurangan Pengambilan Garam 2015-2020.
"Kementerian sedang menjalankan kajian mengenai keburukan kandungan monosodium atau garam dalam pemakanan rakyat Malaysia di samping akan berterusan membuat program kesedaran tentang hipertensi,” katanya.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, pemain industri iaitu pengeluar dan penyedia makanan perlu turut mengurangkan penggunaan garam dalam penyediaan makanan kepada pengguna.
Seramai 500 delegasi dari dalam dan luar negara menghadiri kongres berkenaan yang membincangkan pelbagai isu antaranya cara menangani, rawatan dan situasi terkini hipertensi. - Bernama