KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, syor berkenaan diputuskan selepas menghadiri taklimat Kementerian Pertahanan serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) pada 3 Disember lalu.
"JKPK berkenaan mendengar pembentangan laporan penilaian serta keberkesanan PLKN 1.0 dan 2.0, selain strategi pelaksanaan PLKN 3.0.
"Sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk melaksanakannya, maka JKPK berpendapat satu kajian lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu," katanya dalm sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Beliau berkata, ia merupakan latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan dengan latihan berkenaan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan, JKPK yang dianggotai sembilan ahli Parlimen itu turut mengemukakan tujuh justifikasi berhubung penolakan PLKN 3.0.
Antaranya pelaksanaan latihan itu tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas dan merupakan masalah berlanjutan (legasi) akibat objektif dan sasaran PLKN 1.0 yang tidak jelas.
"Sekiranya PLKN 3.0 ingin dilaksanakan juga, maka matlamat dan modulnya hendaklah berasaskan latihan ketenteraan atau separa ketenteraan, tetapi persoalannya adakah negara memerlukan PLKN yang sedemikian?
"Modul PLKN 3.0 yang dicadangkan ini adalah bercampur aduk, iaitu 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus (berkaitan) kenegaraan.
"Ia (modul terbabit) memberi penekanan kepada asas ketenteraan tetapi sebahagian daripada kandungannya tiada kaitan dengan perkara itu," katanya.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan, pihaknya turut mendapati PLKN 1.0 dan 2.0 tidak meninggalkan kesan positif jangka panjang dalam kalangan peserta berdasarkan pelbagai kajian yang dijalankan
"PLKN 1.0, 2.0 dan 3.0 juga membabitkan kos pelaksanaan amat tinggi, berbanding kesan positif yang tidak seberapa, sedangkan kesan positif sama boleh diperoleh melalui program atau institusi pendidikan sedia ada dan sebagainya," menurutnya.