Kes 'Kutty': Tun M jawab 800 soalan peguam Ahmad Zahid

Iklan
Dr Mahathir menunjukkan salinan kad pengenalan lama miliknya, sebagai bukti di Mahkamah Tinggi pada Khamis, bagi mengesahkan namanya bukan `Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan salinan kad pengenalan lama miliknya, sebagai bukti di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bagi mengesahkan namanya bukan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'.

Selepas memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu 'Kutty', Mahathir turut menunjukkan salinan kad pengenalan milik isteri dan empat anak.

Iklan
Iklan

Bekas Perdana Menteri yang menyambut hari lahir ke-99 pada Julai lalu, turut menunjukkan sijil kelahiran yang digunakan sejak lahir, sebagai bukti kesahihan nama, tanpa tertera nama Kutty.

Beliau berkata, semua salinan kad pengenalan itu diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Iklan
Salinan kad pengenalan lama, sijil kelahiran yang dikemukakan Dr Mahathir dalam prosiding kes samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu 'Kutty'.

"Ini merupakan kad pengenalan yang sebenar, bukan seperti yang Ahmad Zahid tunjukkan di telefon bimbitnya kerana gambar itu boleh dimuat naik namun tidak boleh diterima secara rasmi sebagai kad identiti diri.

"Saya tak lama ada di mahkamah hari ini, cuma mengulangi jawapan yang telah diajukan serta menjawab lebih 800 soalan daripada peguam yang mewakili Ahmad Zahid,” katanya.

Iklan

Selepas ini beliau berkata, mahkamah akan mendengar keterangan saksi lain termasuk anak lelakinya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga saksi plaintif, disusuli dengan Ahmad Zahid selaku defendan.

Sementara itu, peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya telah selesai memberi keterangan secara penuh mengenai tuntutan saman sivil terhadap defendan.

"Bagi pengetahuan semua pihak, Tun Mahathir telah menjawab lebih 800 soalan dalam pemeriksaan balas tetapi beliau masih utuh berdiri,” katanya.

Dr Mahathir hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis bagi prosiding kes samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu 'Kutty'.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya, individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Dr Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.

Prosiding di hadapan Hakim, Gan Techiong bersambung Isnin depan.