JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori semasa lampu isyarat merah di simpang tiga Jalan Besar Pasir Gudang di sini, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.10 pagi melibatkan sebuah motosikal jenis RS150 yang ditunggang mangsa dan lori jenis Volvo.
Iklan
Iklan
"Kemalangan berlaku apabila sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun sedang berhenti kerana lampu isyarat masih berwarna merah.
"Tiba-tiba datang dari arah belakang motosikal ditunggang mangsa berusia 28 tahun dan melanggar lori tersebut.
"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya terutama ketika waktu puncak.