SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu mewujudkan unit perisikan khas kes penyeludupan diesel bagi menangani isu berkenaan daripada terus berleluasa dalam negara.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, sindiket berkenaan menjalankan operasi yang melibatkan perancangan dan logistik tersusun dan komprehensif.
"Mereka telah beroperasi sekian lama dan terus berkembang kerana berjaya merasuah anggota pihak berkuasa untuk menutup sebelah mata.
"Jika satu unit khas ditubuhkan untuk menangani isu ini, mungkin jumlah tangkapan dan rampasan lebih besar sekiranya pihak berkuasa dapat menghapuskan sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 2,206 kes berkaitan salah guna barang kawalan diesel dicatatkan sejak Januari 2022 hingga Oktober lalu.
Menurut Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, ia membabitkan nilai rampasan berjumlah RM47 juta.
Jelasnya, seramai 1,177 orang telah ditahan dalam tempoh berkenaan membabitkan pesalah warga tempatan dan bukan warganegara.
Tambah beliau, di Semenanjung merekodkan 1,617 kes, Sarawak pula 421 kes, Sabah 141 kes dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 11 kes.
Mengulas lanjut, Helmi memaklumkan, isu harga diesel merupakan perkara yang mendapat perhatian rakyat kerana secara tidak langsung melibatkan semua pihak dalam aktiviti perindustrian, peladangan, pertanian dan pengangkutan.
"Ia memberikan kesan yang signifikan kepada pengguna yang bergantung kepada bekalan minyak diesel. Ia juga memberikan kesan kepada pengguna kenderaan diesel.
"Peningkatan harga minyak diesel ekoran pemotongan subsidi sudah pasti mengundang kepada aktiviti penyeludupan.
"Aktiviti penyeludupan ini ditangani oleh pihak berkuasa yang menyaksikan pelbagai operasi dijalankan melibatkan nilai rampasan besar dan ramai sudah ditangkap," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya mendapat banyak keluhan dari orang awam tentang Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI) yang tidak uruskan dengan baik.
Katanya, aduan paling banyak melibatkan golongan yang pernah menerima subsidi untuk beberapa bulan pertama pelaksanaan BUDI kemudian tidak lagi mendapatkannya.
"Keadaan menjadi parah, bila sistem komunikasi untuk mendapatkan maklumbalas mengenainya dari pihak yang berkenaan gagal berfungsi. Apakah wujud penyelewengan dalam pelaksanaan BUDI? Maka SPRM wajar menjalankan siasatan.
"MEH menyeru kementerian dan agensi berkaitan agar meningkatkan sistem penyampaian agar rakyat tidak teraniaya dan mendapat gambaran yang sebenar sekaligus menangani kemelut ini secara keseluruhan.
"Sekiranya tidak, ini akan menimbulkan persoalan apakah kerajaan benar-benar bersedia untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi secara berkesan atau sekadar melepaskan batuk ditangga.
"Perkara ini perlu ditangani segera kerana tidak lama lagi kita akan dihadapkan dengan pelbagai pengurangan subsidi oleh kerajaan," ujarnya.