KOTA KEDIRI - Tiga orang ahli sebuah keluarga maut selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di Dusun Legi, Desa Pandantoyo, Kabupaten Kediri pada pagi Khamis.
Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di rumah mereka oleh penduduk kampung dan polis sekitar jam 9.00 pagi waktu tempatan.
Menurut warga setempat, seorang saksi ke rumah mangsa bagi bertanyakan khabar Agus Komarudin,38, bagaimanapun tidak disahut oleh mangsa semasa dia mengetuk pintu rumah berkenaan.
"Saya kemudian pergi ke tingkap dan cuba menjenguk dari situ, apa yang saya nampak adalah darah ada di mana-mana.
"Saya terkejut tetapi tidak berani hendak masuk ke dalam rumah, hinggalah saya melaporkan insiden ini kepada ketua kampung dan diteruskan kepada pihak polis," ujar saksi yang enggan dikenali berkenaan.
Dalam pada itu polis mendapati, mayat mangsa sepasang suami isteri iaitu Agus Komarudin dan Kristiani,37, ditemui di dapur sementara anak sulung mereka Christian Agusta Wiratmaja ditemui di dapur, sementara anak bongsu mereka Samuel Putra Yordaniel ditemui dalam keadaan luka parah namun masih hidup.
Mengesahkan kejadian itu Ketua Polis Kediri AKBP Bimo Ariyanto berkata, pihaknya masih menyiasat 'misteri' kejadian berkenaan.
"Ia benar, kejadian berlaku di Kecamatan Ngancar, Kabupaten Kediri. Kita masih dalam penyelidikan serta mencari bukti dan motif kejadian," katanya kepada wartawan pada Khamis. -Agensi