KOTA BHARU - Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus mendapat simpati usahawan dan pempengaruh dari negeri ini yang menghulurkan bantuan bukan sahaja membabitkan makanan.
Terkini, usahawan tudung, Che Nurul Hafizah Che Zulkifli menyumbangkan 10,000 helai tudung sarung bernilai lebih RM360,000 di lebih 10 PPS bagi membantu mangsa banjir wanita dan remaja perempuan selesa menutup aurat di pusat berkenaan.
Che Nurul Hafizah atau lebih dikenali sebagai Chefiza bekerjasama dengan beberapa pempengaruh lain termasuk Khairul Aming bagi membolehkan lebih ramai mangsa menerima bantuan itu.
"Saya memulakan pengagihan tudung ini pada hari kedua bencana banjir dan semua berjalan lancar hasil kerjasama itu," katanya.
Jelasnya, idea untuk mengagihkan tudung yang masih berada di kilang itu berikutan ia mudah dipakai dan tidak memerlukan pin.
Chefiza juga percaya pemberian itu akan mengembalikan lebih banyak rezeki kerana memudahkan mangsa banjir," katanya.
Ketika sibuk dengan pengagihan berkenaan, halaman rumahnya di Kampung Wakaf Bharu turut dinaiki air sedalam 0.4 meter.
"Saya mengambil keputusan berpindah ke rumah ayah di Kelaboran kerana bimbang hujan lebat membahayakan keselamatan anak-anak," katanya.
Chefiza yang sudah lapan tahun dalam perniagaan tudung pernah mengagihkan tudung kepada pekerja barisan hadapan ketika pandemik Covid-19 lebih tiga tahun lalu.
"Saya terharu dengan sokongan ramai usahawan anak jati Kelantan yang turun membantu sekali gus menunjukkan simpati dan empati kepada mangsa banjir," katanya.