SELAIN ibadah dan muamalat (pergaulan sesama manusia), aspek lain yang juga sangat penting untuk dijaga ketika ditimpa ujian atau musibah banjir adalah akidah.
Sesuai dengan Rukun Iman keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar, umat Islam yang menjadi mangsa perlu menerima hakikat bahawa banjir itu adalah satu ujian daripada ALLAH SWT.
Membincangkan mengenai akidah ketika berhadapan dengan bencana alam seperti banjir, Sinar Islam Plus merujuk kepada pendakwah, Ustaz Mohd Syahid Mohd Zaini bagi menghuraikan dengan lebih lanjut mengenainya.
Menurut beliau, hati mana yang tidak sedih apabila pelbagai harta benda yang disayangi termasuk perabot dan perkakas rumah selain kenderaan rosak sekelip mata.
"Ada sesetengah daripada mangsa banjir kehilangan haiwan ternakan dan tanaman musnah, bahkan lebih menyedihkan lagi mereka kehilangan nyawa insan yang tercinta.
Ujarnya, hal ini telah disebut ALLAH SWT dalam firmannya melalui ayat ke-155 surah al-Baqarah:
"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Maqasid Syariah di sebalik banjir
Menurut pendakwah itu, pelbagai pengajaran boleh dikutip daripada ujian banjir yang melanda negara dan terbaharu kejadian bah itu baru-baru ini menyebabkan hampir 150,000 orang terpaksa berpindah.
Bagaimanapun katanya, beliau ingin berkongsi pandangan dalam melihat banjir itu dari sudut Maqasid Syariah.
"Banjir dari sudut Maqasid Syariah boleh dilihat sebagai satu musibah yang menuntut kita untuk menjaga kepentingan-kepentingan asas yang dijaga oleh Islam.
"Maqasid Syariah adalah prinsip-prinsip yang bertujuan melindungi maslahah (kepentingan) manusia dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi,” katanya.
Ujarnya, lima elemen utama Maqasid Syariah ialah:
1 - Menjaga agama (Hifz ad-Din)
Banjir dilihat sebagai ujian keimanan kepada mangsanya yang menuntut untuk terus berpegang teguh kepada ALLAH SWT dengan memperbanyakkan doa, zikir dan ibadah walaupun dalam keadaan sukar.
2 - Menjaga nyawa (Hifz an-Nafs)
Dalam situasi banjir, tindakan seperti memindahkan diri ke tempat selamat, mengelakkan risiko seperti arus deras dan mematuhi arahan pihak berkuasa adalah sejajar dengan prinsip menjaga nyawa.
Selain itu, mencegah diri daripada penyakit yang sering berlaku selepas banjir seperti leptospirosis dan demam denggi juga termasuk dalam usaha melindungi nyawa melalui penjagaan kesihatan.
3 - Menjaga akal (Hifz al-Aql)
Ujian ini mengingatkan manusia untuk bermuhasabah, menggunakan akal untuk merancang masa depan dan mengambil iktibar untuk memperbaiki hubungan dengan alam sekitar.
4 - Menjaga harta (Hifz al-Mal)
Dalam mengelakkan kerugian, Islam menggalakkan usaha meminimakan kerugian seperti memindahkan barangan berharga ke tempat selamat dan menyimpan dokumen penting dalam bekas kalis air.
Sebagai pemulihan dan bantuan kepada mangsa, bantuan berbentuk kewangan dan barangan adalah langkah memulihkan ekonomi mereka yang terjejas. Di sini boleh diguna pakai konsep zakat, sedekah dan wakaf dalam Islam.
5 - Menjaga keturunan (Hifz an-Nasl)
Dalam situasi banjir, usaha memastikan ahli keluarga, terutama anak-anak dan warga tua, berada dalam keadaan selamat adalah manifestasi menjaga keturunan.
Selain itu, banjir boleh dijadikan peluang mendidik generasi muda tentang kepentingan berakhlak mulia seperti bersabar, bersyukur dan membantu orang lain dalam kesusahan.
"Ia mengingatkan kita untuk menjaga keperluas asas kehidupan sambil menegakkan prinsip keadilan dan kesejahteraan dalam masyarakat,” jelasnya.
Amalan ketika dilanda banjir
Amalan rohani:
1 - Berdoa dan bertawakal.
"Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada hilangnya nikmat-MU, perubahan afiat-MU, kedatangan azab-MU yang tiba-tiba dan segala yang menyebabkan kemurkaan-MU."
2 - Banyakkan bersedekah.
Bantu mangsa banjir lain dengan makanan, pakaian atau tempat perlindungan sementara. ALLAH menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang membantu saudara seagama dalam kesusahan.
3 - Memperbanyakkan Istighfar.
Mohon keampunan kepada ALLAH dengan memperbanyakkan istighfar supaya musibah ini menjadi penghapus dosa.
Dengan memperbanyakkan istighfar juga mampu memperkuatkan kesabaran kita di atas musibah yang melanda.
4 - Baca al-Quran dan berzikir.
Surah yang dianjurkan ialah surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas untuk perlindungan selain Ayat Kursi dan dua ayat terakhir surah al-Baqarah.
Perbanyakkan zikir seperti "Hasbunallahu wa ni’mal wakil” (Cukuplah ALLAH sebagai penolong kami).
Amalan hati:
1. Sabar dan reda.
Anggap musibah ini sebagai ujian daripada ALLAH. Berusaha untuk bersabar dan tidak mengeluh.
2 - Muhasabah diri.
Jadikan musibah sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dengan meningkatkan amal ibadah.
3. Berdoa untuk orang lain.
Doakan keselamatan semua mangsa banjir dan kemudahan kepada mereka yang membantu.