MONSUN Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh merupakan fenomena yang saban tahun berlaku di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula 5 November 2024 dan berterusan hingga Mac 2025. Sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku sepanjang tempoh itu.
Hujan lebat berterusan pada musim tengkujuh boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai. Jika dibandingkan dengan banjir kilat, tempoh masa bah itu lebih panjang dan kebiasaannya akan membawa kemusnahan lebih besar.
Dalam al-Quran, kalimah al-Ma’ iaitu air banyak disebutkan sama ada secara tunggal ataupun jamak iaitu sebanyak 94 kali.
Ia merangkumi pelbagai kisah dan situasi untuk kita mentadabburnya. Jika dilihat, fenomena proses kejadian hujan turut diterangkan dalam ayat ke-18 surah ar-Rum:
"ALLAH jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan. Kemudian ALLAH menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-NYA dan menjadikannya berkelompok-kelompok. Lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila ALLAH menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendaki-NYA daripada hamba-hamba-NYA, mereka serta-merta bergembira.”
Rahmat, ujian ALLAH
Sebagai umat Islam yang beriman, kita perlu percaya dengan qada dan qadar ALLAH yang menjadi asas keimanan kita. Segala bentuk ujian dari fenomena alam seperti banjir, kemarau dan lain-lain merupakan rahmat dan ujian ALLAH kepada kita.
Kepentingan dalam meluruskan sudut pandang dan cara kita melihat ujian sebenarnya menjadi titik perbezaan antara Muslim dan kafir.
Selain itu, al-Quran turut menekankan peranan manusia sebagai khalifah di bumi. Kepentingan menjaga alam sekitar menjadi tanggungjawab bersama antara pemerintah dan masyarakat.
Dari sudut pemerintah, kepentingan pengurusan banjir yang sistematik dan langkah mitigasi untuk melindungi masyarakat perlu dititikberatkan.
Sementara itu, dari konteks individu dan masyarakat, perlu adanya kesedaran dalam menghargai alam sekitar dengan tidak melakukan apa-apa perbuatan yang boleh mencemarkannya.
Contohnya, dalam konteks banjir, perlunya kesedaran untuk tidak membuang sisa-sisa kumbahan, sampah sarap ke dalam sungai dan penebangan hutan haram yang akhirnya boleh menjadi faktor-faktor kepada banjir.
Menerusi ayat ke-41 surah ar-Rum, ALLAH SWT mengingatkan, segala bencana yang berlaku adalah kerana tangan-tangan manusia sendiri, sedangkan Sang Pencipta secara jelas melarang hamba-NYA melakukan kerosakan di muka bumi menerusi ayat ke-205 surah al-Baqarah.
Ikhtiar dan tawakal
Dalam menghadapi ujian banjir, al-Quran memberi ‘jalan keluar’ dengan mengamalkan dua konsep penting dalam kehidupan iaitu ikhtiar dan tawakal.
Jika diteliti dari sudut sirah dalam al-Quran, kejadian bah besar pernah berlaku pada zaman Nabi Nuh AS yang diceritakan menerusi ayat ke-14 surah al-Ankabut.
Nabi Nuh AS memberi contoh dalam mengamalkan konsep ikhtiar dengan membina kapal dan bertawakal kepada ALLAH SWT semasa pelayaran.
Mengambil ibrah daripada kisah itu, dapat dilihat konsep ikhtiar wajar diaplikasikan dalam menghadapi musim tengkujuh dengan melakukan persiapan awal sebelum menghadapi air banjir.
Bukan itu sahaja, sifat saling membantu antara satu sama lain antara ibrah penting yang boleh dijadikan pedoman. Masakan tidak, musim tengkujuh ialah satu fasa mencabar bagi penduduk berhampiran sungai, mendiami kawasan tanah rendah dan menerima banyak taburan hujan.
Apatah lagi fenomena bencana alam seperti itu tidak hanya melibatkan kerosakan harta benda, tetapi turut membabitkan mental dan fizikal.
Sebagai umat Islam yang bersaudara, nilai ukhuwah Islamiah harus diperkasa sepanjang musim tengkujuh dengan membantu mangsa banjir dan golongan yang terjejas.
Langkah-langkah proaktif perlu diambil dalam menghadapi musim tengkujuh sebagai ikhtiar disertakan dengan tawakal kepada ALLAH.
Selain itu, penting untuk kita mentadabbur al-Quran agar dapat mengambil ibrah dan hikmah tentang apa yang telah terjadi.
Semoga ALLAH mengurniakan kesabaran dan ganti lebih baik kepada mereka yang terjejas akibat musim tengkujuh.
Seperkara lagi, amalkanlah doa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika melihat hujan iaitu ‘Allahumma sayyiban nafi’an’ (Ya ALLAH, KAU jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat). (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari mengatakan bahawa doa itu sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala perkara yang boleh memberi mudarat.
*Artikel ditulis oleh Ustaz Mohamad Omar Mansu yang merupakan Eksekutif Pusat Islam dan Kebudayaan, Management and Science University (MSU)