SHAH ALAM - Dua rumah antara lapan premis dipercayai lokasi menjual barangan tiruan secara dalam talian digempur menerusi operasi sekitar Klang dan Kuala Kubu Bharu pada Rabu.
Operasi kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dijalankan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mendapati kesemua premis terbabit turut dijadikan lokasi penyimpanan pelbagai jenis barangan tiruan berkenaan.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, risikan dijalankan mendapati barangan tiruan ini dijual secara dalam talian.
"Hasil serbuan menghasilkan dua kes rampasan melibatkan 500 barangan disita melibatkan keseluruhan rampasan bernilai RM17,000.
Katanya, serbuan seterusnya melibatkan enam kedai menjual aksesori wanita disyaki tiruan di sebuah pasar raya terkemuka di sini.
"Risikan sebelum itu mendapati semua premis terlibat ini menjual pelbagai barangan perhiasan secara terbuka seperti gelang, rantai, anting-anting dan pengikat rambut.
"Serbuan ke atas enam lot kedai itu membawa kepada rampasan sebanyak 6,059 unit pelbagai barangan serta melibatkan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM20,000," katanya.
Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM37,000 dan siasatan akan dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
"Patuhilah peraturan yang ditetapkan dan sentiasa mematuhinya dalam menjalankan perniagaan sama ada perniagaan secara premis terbuka, tertutup atau menggunakan platform media sosial
"KPDN Selangor akan terus menggempur mana-mana pihak yang melanggar peruntukkan perundangan yang dikuatkuasakan," katanya.