KLANG - [DIKEMAS KINI] Pendakwah selebriti, PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu kesalahan melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki, dua tahun lalu.
Majistret, Amirul Asyraf Abd Rasid menjatuhi Azman atau nama penuhnya Azman Syah Alias, 43, hukuman itu terhadap selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula Jumaat.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki yang ketika kejadian berusia 19 tahun, di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, di sini pada jam 9.15 malam, 10 Jun lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Fahmi Adilah merayu mahkamah memberikan hukuman yang minimum kerana anak guamnya mengaku insaf dan menyesal atas perbuatannya.
Menurutnya, Azman yang juga seorang duda, berjanji akan menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna pada masa depan.
"Dia mengambil masa untuk membuat pengakuan, selepas didorong oleh faktor keinsafan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi menegaskan, jenayah seperti ini tidak sepatutnya dilakukan lebih-lebih lagi tertuduh merupakan seorang pendakwah selebriti.
"Pengakuan salah bukan menjadi satu sebab untuk mahkamah, diberikan potongan hukuman kepada tertuduh.
"Isu mengurangkan hukuman, bukan faktor mitigasi yang boleh dipandang enteng, mahkamah sebaliknya perlu mengambil kira keseriusan kesalahan dan kepentingan awam," katanya.
Pada 27 September lalu, Mahkamah Sesyen berasingan di sini menjatuhi Azman hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki ketika kejadian berusia 17 tahun, pada 2022 lalu.
Hakim, Noridah Adam memerintahkan pendakwah selebriti, itu menjalani hukuman di Penjara Kajang serta-merta, selepas menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.
Untuk rekod, Azman turut menghadapi lapan lagi kes seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua Shah Alam dan satu Ampang.