SEREMBAN - Tindakan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjalankan penguatkuasaan terhadap penjaja dengan merampas barangan mereka adalah berdasarkan undang-undang sedia ada.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, ia selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Penjaja 1980 dan mematuhi Prosedur Operasi Standard MS ISO 9001:2015.
Menurutnya, setiap perniagaan dalam kawasan pentadbiran MBS perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, termasuk aktiviti penjaja.
"Langkah ini adalah bertujuan untuk membendung pelbagai isu antaranya, isu keselamatan makanan risiko penyedia makanan dan pencemaran makanan yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan keselamatan pengguna jalan raya seperti pelanggan pandu lalu serta isu landskap dan imej bandaraya.
"Selain itu, ia juga membabitkan isu berniaga di lampu isyarat atau laluan keluar atau masuk simpang yang membahayakan pengguna jalan raya akan menyebabkan masalah parkir kenderaan yang boleh menyebabkan gangguan lalu lintas serta berisiko kemalangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, bagaimanapun terhadap beberapa prosedur penguatkuasaan penjaja tanpa lesen yang tidak melibatkan isu keselamatan antaranya notis bertempoh kepada pemilik perniagaan namun penerima notis boleh memohon rayuan lanjutan tempoh dan notis Kompaun kepada pemilik yang tidak mematuhi notis bertempoh namun penerima kompaun boleh membuat rayuan bagi jumlah kompaun.
"Sitaan terhadap barang yang ditinggalkan di tempat awam selepas tamat perniagaan namun pemilik boleh membuat rayuan untuk mendapatkan semula barang-barang yang disita," katanya.
Katanya, kerajaan negeri melalui MBS sentiasa berusaha menyampaikan perkhidmatan berkualiti bagi meringankan kesejahteraan warga bandar raya Seremban termasuk aktiviti penjaja seperti menyediakan tapak penjaja baharu, bantuan kewangan kepada penjaja yang layak, menyediakan kiosk di lokasi terpilih dan mengecualikan caj bayaran lesen untuk tempoh tertentu.
"Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, MBS bertanggungjawab memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi demi kesejahteraan seluruh warga bandar raya Seremban tanpa mengecualikan mana-mana pihak.
"MBS meminta warga bandar raya Seremban yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan atau cadangan boleh mengemukakan melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma Aplikasi Respons Rakyat atau boleh juga hubungi terus di talian 06-7654444," katanya.
MBS sebelum ini menerima komen dan aduan daripada wakil rakyat berkaitan aktiviti penguatkuasaan MBS terhadap penjaja kecil yang telah merampas barangan mereka.