IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengeluarkan surat teguran kepada seorang pegawai perubatan yang didakwa memukul seorang doktor lelaki dalam kejadian di Hospital Gerik, Jun lalu.
Pengarah JKN Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, surat berkenaan telah dihantar kepada lelaki terbabit pada 31 Julai lepas selepas satu siasatan dalaman dijalankan.
"Aduan berkaitan insiden itu telah dibuat pada 4 Jun dan sebuah Jawatankuasa Siasatan Dalaman telah ditubuhkan pada hari sama aduan diterima.
"Siasatan yang dijalankan pada 12 Jun kemudiannya mendapati bahawa aduan tersebut adalah berasas," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Pada Isnin, seorang pengguna Facebook bernama Aidid Nawawi Ghazali mendakwa trauma akibat dipukul sebanyak sembilan kali iaitu tujuh di belakang badan dan dua lagi di belakang kepala oleh penolong pegawai perubatan.
Dalam perkongsian itu, Aidid Nawawi turut meluahkan rasa tidak adil dengan rumusan siasatan dalaman kerana pelaku tidak menerima apa-apa tindakan, tidak memohon maaf dan kekal boleh bekerja seperti biasa.
Mengulas lanjut, Dr Feisul Idzwan berkata, surat pemakluman hasil siasatan dalaman itu telah dihantar kepada Aidid Nawawi pada 1 Ogos lalu dan pihaknya sudah menghubungi pengadu untuk menawarkan perkhidmatan kaunseling.
Katanya, JKN Perak juga telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas bagi insiden tersebut.
"KKM memandang serius sebarang perlakuan buli atau penggunaan kekerasan dan mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang bentuk kekerasan di tempat kerja," katanya.