DNB diarah kemuka pelan perniagaan minggu depan

Iklan
Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Digital Nasional Bhd (DNB) diarah untuk mengemukakan pelan perniagaan pada minggu depan, susulan kelewatan projek rangkaian 5G kedua.

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata, pelan perniagaan itu akan diteliti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi isu peruntukan spektrum tambahan.

Iklan
Iklan

"DNB memohon sehingga Januari tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya diberikan pada bulan ini juga.

"DNB bukan bawah Kementerian Komunikasi jadi saya tidak terlibat dalam perurusannya tapi bagi SKMM yang diketengahkan adalah keperluan bagi kedua-dua rangkaian," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Menurutnya, mesyuarat turut meminta agar MyDigital ID untuk mengemukakan langkah bagi meningkatkan jumlah pendaftaran pengguna dalam tempoh dua minggu.

Iklan

"Setakat Khamis, pendaftaran MyDigital ID mencecah 1.319 juta," jelas Fahmi.

Ujar beliau, isu MyDigital ID berkait langsung dengan keperluan untuk melipatkandakan usaha agar pendaftaran dapat ditingkatkan.

"Satu keputusan akan dibuat mengenai apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan jumlah pengguna dan mereka yang telah mendaftar bagi sistem MyDigital ID,” katanya.

Pada Khamis, Anwar berang dengan kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G menyebabkan beliau terpaksa melepaskan kemarahan yang agak keras dalam satu mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Ke-4 (MED4IRN) sehari sebelumnya.

Fahmi berkata, Anwar dalam mesyuarat Kabinet sekali lagi memohon maaf kepada barisan Jemaah Menteri susulan isu berang dan marah atas kelewatan DNB dan My Digital ID.

"Beliau menjelaskan kenapa memohon maaf kerana beliau merasakan seperti dalam bahasa Inggeris disebut 'very out of character' (di luar karakter).

"Dan puncanya adalah beliau merasakan bahawa dua-dua inisiatif MyDigital ID dan DNB ini seharusnya bergerak dengan lebih pantas," katanya.

MyDigital ID merupakan satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.

Rangkaian 5G kedua pula merujuk kepada infrastruktur 5G tambahan melengkapi model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) sedia ada disediakan oleh DNB.

Ia disediakan bertujuan merapatkan jurang digital dan memacu infrastruktur digital yang lebih baik, jangkauan lebih luas, terutama di kawasan kurang mendapat perkhidmatan di luar bandar.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan sebanyak 267 daripada 323 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir kini kembali pulih manakala 56 masih belum beroperasi.

"Bagi 91 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) yang terkesan, 81 telah kembali beroperasi," katanya.