TUMPAT - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan ada pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang kembali kepada ajaran berkenaan melalui akses secara dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, justeru, pihaknya melakukan penyelarasan dengan semua agensi bagi mengekang tindakan berkenaan berikutan mereka tidak lagi menggunakan buku dan kitab.
Menurut beliau, selain proses undang-undang, langkah yang lebih mencabar ialah memastikan supaya kelompok itu tidak kembali menjalankan aktiviti dan fahaman lama.
"Kementerian ini menerima arahan khusus daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
"Pihak berkuasa agama pula memberi tumpuan kepada pemulihan supaya mereka tidak kembali mengulangi fahaman yang telah difatwakan sebagai bercanggah dengan ajaran Islam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika lawatan dan tinjauan mangsa banjir di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, tindakan akan dilakukan secara berterusan kerana tidak mahu dilihat sebagai pencegahan bermusim.
"Mereka yang dilihat cuba kembali kepada ajaran lama itu tidak menggunakan buku-buku atau kitab tetapi melalui kaedah dalam talian," katanya.