SHAH ALAM - Malaysian Relief Agency (MRA) melalui misi kemanusiaan berjaya mengagihkan bantuan bernilai RM378,293 kepada mangsa banjir di Semenanjung Malaysia.
Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan berupa makanan, bukan makanan dan perkhidmatan tersebut dihantar ke 15 lokaliti di enam buah negeri iaitu Pahang, Kedah, Johor, Kelantan, Terengganu dan Melaka.
"Setakat 5 Disember, bantuan makanan yang disalurkan MRA terdiri daripada 2,444 pek makanan asas, 600 pek makanan bermasak dan 5,000 pek makanan sedia dimakan (RTE).
"Bagi bantuan bukan makanan, ia merangkumi 2,200 helai pakaian baharu, 40 unit kit bayi (lampin bayi, susu dan tisu basah), 2,400 pek kebersihan serta 600 lagi bantuan bukan makanan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohd Daud, sebanyak 153 sukarelawan Sahabat MRA turut digerakkan ke lokasi terjejas yang dikenal pasti serius dan memerlukan bantuan.
"Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada individu, korporat dan pelbagai pihak yang sudi menyumbang kepada Tabung Bantuan Banjir MRA 2024/2025.
"MRA menyasarkan jumlah sumbangan sebanyak RM3 juta dalam bentuk tunai atau barangan agar lebih ramai mangsa banjir dapat menerima manfaatnya,” ujarnya.
Pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta menyokong usaha murni itu melalui sumbangan dan solidariti bagi meringankan beban mangsa banjir.
Bagi sesiapa yang ingin menyumbangkan kepada Tabung Bantuan Banjir anjuran MRA, sila hubungi ibu pejabatnya di talian 603-91744672 atau sumbangan ke akaun bank RHB 26424500007270 dengan nama pendaftaran, Malaysian Relief Agency Foundation.