SAMA Square kini dibuka sepenuhnya dengan menawarkan pelbagai pilihan kepada orang ramai yang mengunjungi pusat itu berikutan 100 peratus ruang niaga telah dipenuhi.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development Berhad (SkyWorld), Lee Chee Seng berkata, pusat yang berkeluasa 4.15 ekar dan 58,000 kaki persegi ruang runcit merentasi 31 lot itu telah diduduki serta menyediakan 449 tempat letak kereta buat pengunjung.
Menurutnya, pembangunan komersial yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur itu menawarkan pelbagai jenama makanan dan minuman terkemuka termasuk Nippon Sushi Shabuyaki, Zus Coffee, Inside Scoop, My Pizza Lab dan Butter Kaya.
"Selain itu, terdapat juga Hainan Village Malayan Kopitiam, Mixue, Subway, Haruka Bakery dan pelbagai kiosk medan selera, malah MeMiZoooZooo Grocer, Believe Fitness, eMart 24 dan Nasi Kandar Al Yahya antara yang dibuka 24 jam bagi menampung keperluan pada lewat malam.
"Klinik Alam Medic, Allcare Dental, Guardian dan BS Optometri juga merupakan penyewa utama yang berdedikasi untuk memenuhi keperluan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Chee Seng, SAMA Square mentakrifkan semula ruang komersial di Setapak dengan mengubah tapak tersebut menjadi hab aktiviti yang memperkayakan kehidupan, menyokong perniagaan tempatan dan menyatukan orang ramai.
Beliau berkata, lokasi yang terletak berdekatan taman dengan laluan pejalan kaki itu menggabungkan kemudahan bandar dengan kehidupan hijau dan menawarkan ruang yang meriah serta inklusif untuk komuniti.
"Kami amat berbangga untuk membuka SAMA Square secara rasmi, projek komersial pertama yang merangkumi visi kami untuk memupuk komuniti dan meningkatkan kehidupan bandar.
"Pencapaian ini menandakan bukan sahaja lembaran baharu untuk SkyWorld tetapi juga satu langkah ke dalam sektor komersial, mewujudkan tempat berkumpul yang meningkatkan kemudahan untuk penduduk SkySanctuary sambil menjana pendapatan pasif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chee Seng berkata, SAMA Square turut diraikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berikutan reka bentuk serta kecemerlangan yang inovatif.
"Pada Anugerah Warna Kreatif 2024, kami diberi penghormatan Anugerah Grand Prix yang berprestij dan diiktiraf terbaik dalam Kategori Komersial berikutan penggunaan reka bentuk serta warna yang memberi kesan dalam seni bina.
"Di peringkat nasional, Anugerah Seni Bina Keluli BlueScope 2024 mengiktiraf projek ini dengan Anugerah Gangsa dalam kategori sama kerana menyerlahkan reka bentuk seni bina yang cemerlang serta inovasi keluli.
"Tambahan pula, Anugerah Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) 2024 pula menyampaikan Anugerah Perak kepada SAMA Square dalam kategori Komersial yang mengukuhkan reputasinya untuk kecemerlangan seni bina,” katanya lagi.