BEREGU campuran yang bakal menggalas cabaran negara dalam saingan Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China minggu depan perlu mempersiapkan diri dengan ketahanan mental yang kuat.
Pesanan tersebut dikongsi bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying yang menyifatkan persediaan itu penting kerana ia akan memainkan peranan besar dalam usaha mereka untuk bersaing pada tahap tertinggi di pentas berprestij tersebut.
Cabaran negara dalam kategori itu bakal digalas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
"Apapun, perkara paling penting adalah mentaliti mereka. Dulu mereka (Tang Jie-Ee Wei) pernah nak kejar untuk perbaiki ranking dunia, namun sebaliknya berlaku apabila kini ramai pemain muda yang sedang mencabar kedudukan mereka.
"Oleh itu, perkara utama adalah bagaimana mereka berdua dapat mengekalkan prestasi yang konsisten dalam latihan serta pertandingan,” katanya.
Kejohanan penutup musim itu dijadual bermula 11 hingga 15 Disember ini di Hangzhou.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama pasangannya, Chan Peng Soon itu turut gembira dengan pencapaian kedua-dua pasangan itu kerana peluang untuk meraih tiket WTF bukan mudah.
"Ini adalah acara yang saya paling gembira kerana bukan mudah untuk layak ke WTF. Lebih manis lagi, selain Tang Jie-Ee Wei kita juga mempunyai pemain profesional seperti Soon Huat-Shevon yang turut berjaya melangkah ke pentas berprestij tersebut.
"Pencapaian melangkah ke WTF ini sangat besar, dan saya percaya Tang Jie-Ee Wei adalah pemain muda yang perlu diperhatikan di masa hadapan. Saya harap mereka dapat menunjukkan prestasi yang bagus," katanya.
Selain dua pasangan itu, turut meraih slot WTF ialah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.
Turut layak ialah pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.