SHAH ALAM – Kes kehilangan Batu Puteh kepada Singapura membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin mengambil masa dua ke tiga tahun perbicaraan sekiranya ia dibawa ke mahkamah selepas siasatan jenayah dibuat.
Peguam, Nur Mardhiah Hawani Zulkefli berkata, tempoh dua ke tiga tahun perbicaraan itu merupakan tempoh purata bagi prosiding bicara melibatkan kes jenayah di negara ini.
"Secara puratanya, perbicaraan kes jenayah ambil masa dalam dua ke tiga tahun tidak termasuk rayuan. Tempoh perbicaraan bergantung kepada beban kes itu sendiri.
"Bila cakap mengenai kes jenayah, yang kita kena ingat pembuktian bersalah adalah berdasarkan melampaui keraguan munasabah.
"Nak mudah faham, selagi mana ada keraguan dan ada pertikaian, kes atau pun perbicaraan akan jadi panjang sampailah tidak ada apa yang nak dipertikaikan lagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Nur Mardhiah Hawani, Dr Mahathir berisiko berdepan dengan hukuman penjara sekiranya siasatan jenayah terhadapnya berhubung kes terbabit membawa kepada pendakwaan ke mahkamah.
Beliau berkata, ia kerana siasatan jenayah bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama itu memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali kepada pelaku yang didapati bersalah.
"Hukuman digariskan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan ialah penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan pula, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah,” ujarnya.
Nur Mardhiah Hawani berkata, dalam kes berkenaan, pihak RCI berpendapat siasatan ke atas Dr Mahathir boleh dimulakan dengan Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan kerana Dr Mahathir dikatakan telah menipu Jemaah Menteri ketika itu.
Katanya, Dr Mahathir juga dikatakan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan dengan permohonan berkaitan isu Batu Puteh selain keputusan pada waktu tersebut hanya dibuat oleh sepihak sahaja iaitu oleh Dr Mahathir tanpa kelulusan Jemaah Menteri.
Justeru, Nur Mardhiah Hawani berkata, cadangan RCI untuk menjalankan siasatan jenayah ke atas Dr Mahathir adalah satu tindakan yang boleh diambil memandangkan tindakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini menimbulkan spekulasi buruk.
"Bagaimanapun, tuduhan atau untuk menyatakan Dr Mahathir sememangnya melakukan kesalahan jenayah adalah tidak muktamad memandangkan terdapat dua pandangan di mana pandangan pertama daripada ahli jawatankuasa RCI sendiri menyatakan Seksyen 415(b), 417 dan 418 Kanun Keseksaan wajar dikenakan dan dihukum atas perbuatan beliau.
"Pandangan kedua juga boleh diambil kira yang mana bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali serta Pakar Perlembagaan dan Pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datin Dr Faridah Jalil dengan tegas menyatakan tindakan atau perbuatan Dr Mahathir hanyalah dianggap sebagai pengabaian tugas semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan ia tidak perlu disabitkan dengan perbuatan jenayah,” ujarnya.