Semangat kerjasama, bersatu padu pacu kecemerlangan KPKT

Iklan
Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR - Semangat kerjasama dan bersatu padu dalam keluarga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya meningkatkan prestasi kementerian ke tahap cemerlang sehingga merangkul Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2024 baru-baru ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sumbangan warga KPKT yang bekerja tanpa mengira penat lelah juga menjadi pemangkin kepada kejayaan itu.

Iklan
Iklan

"Kejayaan ini tidak datang bergolek, tetapi ia hadir atas semangat #StrongerTogether dan #UnityDiversity, iaitu semua warga KPKT bekerjasama dan bersatu padu dalam membangunkan negara," katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan di Putrajaya pada Jumaat malam.

Majlis bertemakan 'Mengelilingi Dunia' yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib itu merupakan penghargaan kepada warga kementerian.

Iklan

Kor Ming juga berterima kasih kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atau wira merah, pasukan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang terlibat membantu mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Beliau turut mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada Badan Kebajikan dan Sukan KPKT (KESKEP) sebagai tanda penghargaan dan meningkatkan motivasi serta semangat kerja dalam kalangan warga kerja kementerian.

Iklan

Pada 15 November lepas, media melaporkan KPKT menjadi kementerian pertama menerima APN 2024 yang dianugerahkan kepada kementerian yang berjaya mencapai prestasi paling cemerlang dalam tiga aspek Sistem Bangunan Industri (IBS), pengurusan program atau projek pembangunan, dan penilaian hasil.

M Noor Azman juga merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan serta komitmen berterusan warga kementerian dalam menjayakan aspirasi, agenda dan fokus KPKT selama ini.

"Ia selari dengan hasrat Kerajaan Madani dalam memberikan perkhidmatan terbaik demi memartabatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Selain APN 2024, KPKT turut merangkul tiga anugerah lain, iaitu tempat pertama Anugerah Pengurusan IBS Terbaik Peruntukan atas RM1 Bilion, tempat pertama Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi dan Anugerah Khas Penilaian Outcome Pencapaian Konsisten. - Bernama