Filem manakah dinobatkan Filem Terbaik FFM33?

Iklan
Filem Abang Adik dan Imaginur bersaing sengit di Festival Filem Malaysia ke-33.

FILEM Imaginur dan Abang Adik yang bersaing sengit dan mendapat pencalonan terbanyak diramalkan bakal dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 yang bakal berlangsung dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, jam 8.30 malam ini.

Filem genre sains fiksyen romantik Imaginur arahan Nik Amir Mustapha, 39, yang pernah memenangi Pengarah Terbaik pada FFM 26 melalui filem Kil itu juga berjaya mendominasi dalam 15 kategori daripada 24 kategori dipertandingkan pada FFM 33.

Iklan
Iklan

Menampilkan lakonan mantap Beto Kusyairy dan Diana Danielle, filem terbitan Lumatic Films itu turut tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Selain itu, filem Imaginur turut membolosi kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Poster Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik dan Penyunting Terbaik.

Iklan

Imaginur yang meraih kutipan RM6 juta ketika ditayangkan di pawagam tanah air tahun lalu juga memaparkan kisah cinta antara Zuhal dan Nur yang sering muncul dalam mimpinya.

Filem genre drama kekeluargaan Abang Adik arahan pengarah kelahiran Taiping, Perak, Jin Ong yang ditayangkan di pawagam tanah air pada 14 Disember tahun lalu dan mencatat kutipan RM5.7 juta pula meraih 11 pencalonan pada FFM 33.

Kategori Pengarah Terbaik turut menjadi perhatian malam ini.

Iklan

Antaranya, kategori Pengarah Harapan (Jin Ong), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Lakon Layar Terbaik.

Abang Adik lakonan Wu Kang Ren ini juga bukan calang-calang kerana sudah memenangi Filem Terbaik, Festival Filem Asia Antarabangsa (AWFF) Ke-10 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan bakal meraih kejayaan dalam Anugerah Akademi (Oscar) Ke-97 di AS pada Mac tahun depan.

Antara pencapaian filem Abang Adik termasuk Filem Terbaik, Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition Ke-22) dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik, Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali.

Selain itu, filem itu juga menerima pengiktirafan Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.

Filem terbitan More Entertainment ini berkisar mengenai kehidupan dua anak yatim piatu dan menampilkan lakonan mantap gabungan pelakon tempatan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren.

Selain Imaginur dan Abang Adik, lima lagi filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik dan turut memberi saingan pada FFM 33 ialah Duan Nago Bogho (Kalamariff Holdings), Sheriff: Narko Integriti (Skop Productions & Astro Shaw), Mechamato Movie (Animonsta Studios), Hungry Ghost Diner (Kinovisuals) dan Rain Town (Current Pictures).

Filem genre aksi Sheriff arahan Syafiq Yusof yang pernah mencatat kutipan tertinggi RM60.5 juta di pawagam juga berjaya mendapat sembilan pencalonan pada FFM 33.

Selain kategori Filem Terbaik, filem itu juga tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik (Syafiq), Pelakon Lelaki Terbaik (Zul Ariffin), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Syafiq Kyle), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Elizabeth Tan), Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, Penyunting Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Buat pertama kalinya, tujuh buah filem tercalon dalam kategori utama, Filem Terbaik.

Tidak ketinggalan, filem Rain Town yang turut mendapat sembilan pencalonan dalam kategori yang dipertandingkan pada FFM 33.

Kategori utama lain yang mendapat perhatian pastinya kategori Pengarah Terbaik di mana Nik Amir Mustapha dan Syafiq (Sheriff) dijangka akan memenangi kategori berkenaan. Calon lain yang tidak kurang hebatnya ialah Sabri Yunus (Duan Nago Bogho), Tunku Mona Riza (Rain Town) dan Nizam Razak (Mechamato Movie).

Menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik, ramai yang meramalkan Diana yang menampilkan lakonan mantap dalam Imaginur dijangka memenangi kategori berkenaan.

Diana juga bersaing sengit dengan Susan Lankester (Rain Town). Calon lain ialah Nadia Aqilah (Eva),Nabila Huda (Rahsia) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Beto (Imaginur) bersaing dengan Zul Ariffin (Sheriff) untuk merebut kategori berkenaan. Calon lain ialah Asrulfaizal (Duan Nago Bocho), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town).

Kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula, pelakon Imaginur, Nadiya Nisaa dijangka akan memenangi kategori berkenaan. Calon lain ialah Elizabeth Tan (Sheriff), Pauline Tan (Rain Town), Angeline Tan (Duan Nago Bogho) dan Remon Lim (Victim(s).

Selain itu, pelakon Syafiq Kyle (Sheriff) dijangka memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan bersaing dengan Sharnaaz Ahmad (Polis Evo 3) dan Jack Tan (Abang Adik). Calon lain ialah Wan Azli (Pagari Bulan) dan Kahoe Hon (Victim (s).

Tidak ketinggalan, Jin Ong yang dijangka bakal memenangi kategori Pengarah Harapan menerusi filem Abang Adik Jin Ong juga bersaing dengan Cho We Jun (Hungry Ghost Diner), Jacky Yeap (Sometime, Sometime), Kyoll Hamzah (Memoir Seorang Guru) dan Suhaiza Aziz (Eva).

Bertemakan EMAS - Evolusi Sinema Malaysia, FFM 33 menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding. Ini merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.

Pemenang kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi.

Anugerah Filem Terbaik pula akan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

FFM 33 mengetengahkan tema Evolusi Sinema Malaysia akan disiarkan secara langsung TV2 dan YouTube FINAS bermula jam 8.30 malam ini.