Penamaan calon PRK Cameron Highlands hari ini

Iklan

CAMERON HIGHLANDS - [DIKEMASKINI] Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bermula jam 9 pagi ini di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini.

Calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga pukul 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK Datuk Ishak Md Nais mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada kira-kira pukul 11 pagi.

Iklan
Iklan

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata setakat jam 5 petang semalam, sebanyak 11 set borang pencalonan dibeli dengan tiga set masing-masing oleh PH, BN dan calon bebas, manakala dua set lagi oleh Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).

Setakat ini, PH mengumumkan M.Manogaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang sebagai calonnya manakala BN mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis daripada komuniti Orang Asli tempatan, Ramli Mohd Nor sebagai calon. Selain itu Tan Sri M.Kayveas daripada MyPPP juga sebelum mengumumkan akan bertanding di PRK itu.

Iklan

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 Mei 2018, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).

Iklan

SPR juga menetapkan 13 Jan sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal (22 Jan), semakan peti undi (25 Jan), manakala hari pengundian pada 26 Jan dan buat julung kalinya suruhanjaya itu akan menyiarkan lintas langsung proses penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi di laman Facebook SPR (www.facebook.com/sprgovmy/)

Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dun Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih pada PRK kali ini seramai 32,009 orang termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor dan pilihan raya Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan.- Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands]

[ARTIKEL BERKAITAN: Calon PRK Cameron Highlands diminta buat semakan awal]