Dalam menghadapi perubahan pesat landskap pertanian, industri ternakan ayam di Malaysia sedang beralih daripada amalan konvensional ke sistem penternakan tertutup yang lebih moden dan pintar.
Perubahan ini didorong oleh keperluan mendesak untuk meningkatkan biosekuriti, kelestarian dan produktiviti industri memandangkan daging ayam adalah antara sumber protein yang mampu milik.
Tahun 2023 menyaksikan pengeluaran daging ayam domestik mencapai angka 1,564.6 tan metrik.
Jumlah tersebut menggambarkan kemampuan industri tempatan dalam memenuhi keperluan pasaran sambil mengekalkan kestabilan bekalan.
Prestasi itu mencerminkan keupayaan pengeluar untuk mengoptimumkan sumber dan teknologi dalam memastikan produktiviti yang konsisten di tengahtengah cabaran yang dihadapi oleh sektor pertanian dan penternakan.
Pengurus Besar Chop Cheong Bee dan juga merupakan Penasihat kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee menekankan pentingnya peralihan kepada sistem penternakan tertutup.
"Pendekatan ini bukan sekadar menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh para penternak tetapi turut berperanan dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia di arena perdagangan antarabangsa.
"Transformasi tersebut, menurut beliau, mampu meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan risiko pencemaran, serta membuka peluang untuk menembusi pasaran global dengan lebih kompetitif,” jelas Jeffrey dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketara dalam eksport daging ayam pada tahun 2023, dengan peningkatan sebanyak 2,900 tan metrik.
"Jumlah keseluruhan eksport kini mencecah 67,500 tan metrik, berbanding hanya 64,700 tan metrik yang direkodkan pada tahun 2022,” katanya.
Menurutnya, lonjakan itu mencerminkan keberhasilan usaha strategik dalam memperkukuhkan sektor penternakan tempatan serta kejayaan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih berdaya saing.
Peningkatan hasil
Jeffrey yang juga ahli Nexus Produktiviti Agro-Makanan (AFPN) berkata, penternakan terbuka tidak lagi mampan dalam menghadapi cabaran moden seperti penularan penyakit, cuaca tidak menentu dan pencemaran.
"Sebaliknya, sistem tertutup menawarkan kawalan yang lebih baik terhadap suhu, kelembapan, dan kebersihan, sekali gus mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan produktiviti,” katanya.
Tambah Jeffrey, statistik menunjukkan bahawa ladang sistem tertutup mampu mengurangkan kadar kematian ayam daripada 10 peratus kepada kurang lima peratus sekali gus meningkatkan hasil sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus berbanding sistem terbuka.
"Dari sudut ekonomi, sistem tertutup memberikan kelebihan yang signifi kan. Dengan kawalan yang lebih baik, kos operasi dapat dikurangkan, hasil pengeluaran lebih stabil, dan harga pasaran menjadi lebih terkawal.
"Harga ayam di Malaysia berada pada tahap paling rendah di rantau ASEAN dan kestabilan harga ini amat penting untuk menjamin sekuriti makanan negara, memandangkan ayam adalah sumber protein utama rakyat Malaysia,” katanya.
Jeffrey berkata, transformasi itu tidak terlepas daripada cabaran dan kos permulaan yang tinggi untuk infrastruktur yang menjadi halangan besar terutama bagi penternak kecil dan sederhana.
"Sebagai contoh, kos pembinaan sebuah ladang ayam sistem tertutup yang berkapasiti 20,000 ekor ayam boleh mencecah sehingga RM1 juta yang menjadi beban kewangan besar kepada kebanyakan penternak.
"Kekangan dari segi peraturan yang berbeza mengikut negeri turut melambatkan proses transformasi. Kita memerlukan kerangka peraturan yang seragam di seluruh negara,” tegasnya.
Peneraju global
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan insentif seperti subsidi, geran pembangunan dan potongan cukai untuk meringankan beban kewangan penternak.
"Langkah ini dapat mempercepatkan peralihan ke sistem tertutup secara menyeluruh. Transformasi ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, penternak, dan pengguna.
"Kerajaan perlu menyediakan dasar dan insentif yang menyokong pemain industri manakala sektor swasta boleh membangunkan teknologi seperti automasi dan sistem pemantauan canggih.
"Teknologi seperti Internet of Things (IoT) telah mula digunakan di beberapa ladang untuk memantau suhu, kelembapan, dan kesihatan ayam secara real-time, dan ini perlu diperluas,”kata Jeffrey.
Beliau berkata, pengguna juga berperanan dalam menyokong transformasi itu dengan memilih produk ayam tempatan yang dihasilkan secara lestari.
"Kesedaran mereka terhadap biosekuriti dan kelestarian amat penting dalam mendorong perubahan ini. Peralihan ke sistem penternakan tertutup adalah langkah strategik untuk menangani cabaran semasa dan memperkukuh komitmen kepada kelestarian serta inovasi.
"Dengan pelaburan tepat, kerjasama strategik dan visi yang jelas, Malaysia berpotensi menjadi peneraju global dalam pengeluaran makanan mampan. Sistem ini bukan sahaja menjamin bekalan makanan yang stabil tetapi mengukuhkan kedudukan negara di pentas global,”katanya.
Beliau berkata, dengan komitmen semua pihak, industri penternakan ayam Malaysia mampu melangkah ke tahap yang lebih tinggi menjadikan transformasi itu pencetus kepada kemajuan berterusan, masa depan yang lebih cerah kini di tangan kita.
Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai ladang tertutup serta penternakan moden dan pintar bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti ladang boleh hubungi sekretariat Nexus Produktiviti AgroMakanan di afpn@mpc.gov.my.