FILEM Imaginur menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang baru melabuhkan tirainya di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Kejayaan itu melayakkan filem arahan Nik Amir Mustapha itu membawa pulang menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000 dan trofi.
Kemenangan itu sekali gus menundukkan enam lagi finalis dalam kategori sama iaitu Abang Adik (terbitan More Entertainment), Duan Nago Bogho (Kalamariff Holdings), Sheriff: Narko Integriti (Skop Productions & Astro Shaw), Mechamato Movie (Animonsta Studios), Hungry Ghost Diner (Kinovisuals) dan Rain Town (Current Pictures).
Bukan itu sahaja, pengarahnya, Nik Amir mengulangi kejayaan di FFM26 apabila membawa pulang trofi Pengarah Terbaik.
Imaginur juga turut memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penyunting Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
Terdahulu, Imaginur mendominasi 15 daripada 25 pencalonan dipertandingkan di FFM33.
Sementara itu, filem yang memberi sengit kepada Imaginur iaitu Abang Adik turut memenangi lima kategori iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Harapan, Rekaan Kostum / Busana Terbaik dan Tatarias Terbaik.
Dalam pada itu, dua filem iaitu Naam Katrai Isai dan Duan Nago Bogho mendapat Anugerah Khas Juri manakala produksi FFM33 menganugerahkan pelakon veteran, A Galak trofi Khas Sepanjang Zaman.
Bertemakan EMAS - Evolusi Sinema Malaysia, setiap pemenang menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas menerima RM10,000 dan trofi.
FFM33 menyaksikan Datuk AC Mizal mengendalikan acara gilang-gemilang itu bersendirian selepas pengacara gandingannya, Scha Alyahya tidak dapat menghadirkan diri selepas kematian ibu pada pagi Sabtu.
Acara itu turut dihadiri Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin; dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Majlis yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Nicky Palikat, Aisha Retno, Aizat Amdan dan Amir Jahari.
Berikut ini senarai pemenang malam kemuncak FFM33:
1. Anugerah Khas Filem Box Office - Sheriff: Narko Integriti
2. Poster Terbaik - Walid (Layar Pictures Sdn Bhd)
3. Kesan Khas Visual Terbaik - Sheriff: Narko Integriti (Viper Studios Sdn Bhd)
4. Filem Pendek Terbaik - The Missing Trophy (Wayang Works Sdn Bhd)
5. Dokumentari Terbaik - Pekik (Stereo Pixels Sdn Bhd)
6. Tatarias Terbaik - Ng Keok Cheng, Yap Pui Yin, Kua Goh Yoke Eng (Abang Adik)
7. Rekaan Kostum / Busana Terbaik - Elaine Ng (Abang Adik)
8. Penataan Seni Terbaik - Imaginur (Rabbani Sujak)
9. Penataan Bunyi Terbaik - Mechamato Movie (Nizam Razak)
10. Skor Muzik Asal Terbaik - MALBATT: Misi Bakara (Jackey Yow)
11. Lagu Tema Terbaik - Hasrat / Amir Jahari (Imaginur)
12. Sinematografi Terbaik - Sheriff: Narko Integriti (Rahimi Maidin)
13. Penyunting Terbaik - Imaginur (Johan Arif Mazlan)
14. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik - Qisya Hairulzain (Magik)
15. Pelakon Wanita Harapan - Trisha Ooi (Janna Endoro)
16. Pelakon Lelaki Harapan - Aniq Durar (Pagari Bulan)
17. Pengarah Harapan - Jin Ong (Abang Adik)
18. Anugerah Khas Juri 1 - Naam Katrai Isai
19. Anugerah Khas Juri 2 - Duan Nago Bogho
20. Anugerah Khas Karyawan - Indra Che Muda
21. Anugerah Khas Sepanjang Zaman - A Galak
22. Cerita Asal Terbaik - Redza Minhat & Nik Amir Mustapha (Imaginur)
23. Lakon Layar Terbaik - Jin Ong (Abang Adik)
24. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Elizabeth Tan (Sheriff: Narko Integriti)
25. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Jack Tan (Abang Adik)
26. Pelakon Wanita Terbaik - Susan Lankester (Rain Town)
27. Pelakon Lelaki Terbaik - Beto Kusyairi (Imaginur)
28. Pengarah Terbaik - Nik Amir Mustapha (Imaginur)
29. Filem Terbaik - Imaginur (Lumatic Films Sdn Bhd)