TEMERLOH - Orang ramai di daerah ini telah siap siaga menghadapi gelombang kedua banjir.
Pengerusi Koperasi Penternak Ikan Sangkar Daerah Temerloh, Ibrahim Hussien berkata, penternak telah mengikat kemas setiap sangkar untuk mengelakkan ia dihanyutkan arus deras Sungai Pahang.
Menurutnya, pada musim tengkujuh, aliran air deras dan ancaman kayu hanyut boleh merosakkan 4,921 petak sangkar milik 118 ahli di daerah itu setakat ini.
"Begitu juga ikan yang sudah besar, matang akan dijual pada harga lebih murah daripada pasaran.
"Ini untuk elakkan kerugian besar sekiranya sangkar bocor ataupun ikan mati akibat banjir besar,” katanya lagi.
Beliau yang tinggal di Kampung Bangau di sini turut telah mengemas barangan dan dokumen penting ekoran kediamannya juga kerap dilanda banjir.
"Ikutkan tiada banyak barang selepas beberapa kali rumah dilanda banjir. Kebanyakannya adalah barang plastik untuk elakkan kerugian bila berlaku banjir,” katanya.
Bagi Shamsul Sabri Abu Bakar, 38, dari Kampung Bangau Tanjung mengakui, setiap kali Monsun Timur Laut, para penternak akan mengikat setiap sangkar dengan tali yang kukuh manakala jaring sangkar dipastikan tidak bocor.
"Ikan itu kita tidak keluarkan dari sangkar cuma kita kena jangan beri makan lebih,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga restoran, Ismail Abdullah, 40, berharap gelombang kedua ini tidak membawa banjir lebih besar.
"Masa gelombang pertama baru ini, lagi lima anak tangga air hendak sampai ke atas kedai, gelombang kedua ini kita kena berjaga-jaga. Orang-orang tua kata kalau sudah 10 tahun kena berjaga-jaga hadapi banjir besar,” tambahnya.