SABAK BERNAM - Kerajaan sedang berusaha menyediakan sembilan pusat pemindahan kekal (PPK) di negeri berpotensi banjir terutama dalam usaha menampung kapasiti lebih besar membabitkan pemindahan mangsa bencana berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah yang kebanyakkannya tidak dapat menampung jumlah kapasiti mangsa lebih ramai.
Menurut beliau, pembinaan PPK juga diharap dapat mengurangkan impak kerosakan di sekolah sekiranya menjadi lokasi PPS.
"Kita dapati kos untuk menyelenggara semula PPS di sekolah-sekolah terlibat ini terlalu tinggi dan apabila (mangsa pulang semula ke rumah), kebanyakan sekolah seperti dewan dan kelas ini mengalami kerosakan dan perlu dibaik pulih semula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar.
Ahmad Zahid memberitahu, penyediaan PPK itu akan dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Terdahulu, NADMA dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti lapan lokasi di seluruh negara yang bakal dijadikan PPK bagi menempatkan mangsa banjir termasuk sebuah lagi yang sudah siap dan boleh digunakan di Johor.
Lapan lagi lokasi yang dikenal pasti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang dalam proses tender terbuka untuk pembinaan yang mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan.