[VIDEO] RCI Batu Puteh wajar diteruskan untuk fahami fakta sebenar - Khaled Nordin

Iklan

KOTA TINGGI - Cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan disifatkan penting bagi membolehkan fakta sebenar diketahui.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syor oleh RCI itu bagi merungkai perkara sebenar terhadap tuntutan Batu Puteh di sebalik keputusan dibuat sebelum ini untuk tidak meneruskan semakan.

Iklan
Iklan

"Atas sebab itu, ketika saya Menteri Besar Johor pada 2017, saya kemukakan kepada kerajaan Pusat untuk buat rayuan kes ICJ (keputusan Batu Puteh adalah milik Singapura).

"Ini kerana ketika itu British telah nyahklasifikasi beberapa maklumat yang menyatakan dan menunjukkan Batu Puteh itu bawah milikan Johor dan (keputusan ICJ) boleh dilawan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pemindahan Ilmu Lestari, Pengukuhan Ekonomi dan Pemerkasaan Ilmu Penduduk di Felda Bukit Aping Timur di sini pada Ahad.

Mohamed Khaled (dua dari kiri) pada Program Pemindahan Ilmu Lestari, Pengukuhan Ekonomi dan Pemerkasaan Ilmu Penduduk di Felda Bukit Aping Timur pada Ahad.

Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, rayuan terhadap Batu Puteh sudah dibuat kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Iklan

"Perdana Menteri ketika itu adalah Datuk Seri Najib Razak dan kita hanya ada beberapa waktu tertentu untuk buat rayuan dan sekiranya ia tidak dibuat pada masa itu, kita tak boleh buat tuntutan terhadap Batu Puteh lagi.

"Apa yang berlaku seperti apa yang dirumuskan RCI, ada keputusan dibuat tanpa perbincangan terutama keputusan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berseorangan yang tak mahu buat rayuan," katanya.

Pada Khamis, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Sebagai rekod, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer (km) dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.