KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini yang bertujuan untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak Covid-19 terhadap Malaysia di samping memelihara kebajikan rakyat.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, pakej rangsangan ekonomi tersebut bukanlah belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020 tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas.
"Sebaliknya, bantuan akan disalurkan kepada sektor-sektor yang terkesan bagi membolehkan ekonomi negara bangkit semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku setelah wabak Covid-19 berakhir,” katanya.
Novel koronavirus, kini dikenali sebagai Covid-19, kali pertama dikesan di Wuhan, China. Di Malaysia, 19 orang telah disahkan dijangkiti virus tersebut, dengan 13 merupakan warganegara China dan enam rakyat Malaysia.
Seramai tiga orang telah diberi rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital di Malaysia.
Menjelas lebih lanjut, Guan Eng berkata, perhatian utama diberikan kepada aliran tunai, dan syarikat-syarikat yang terkesan hendaklah memastikan supaya mereka terus kekal beroperasi dan berupaya meraih manfaat daripada lonjakan semula ekonomi.
"Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat tersebut, tetapi penekanan harus diletakkan terhadap usaha meneroka ruang pendapatan alternatif, seperti peralihan kepada penggalakan pelancongan domestik, dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain,” katanya.
Ini juga melibatkan langkah mengekalkan daya tahan pasaran tenaga kerja tempatan selain memastikan infrastruktur fizikal dan perkhidmatan juga perlu kekal tersedia sewaktu kekurangan permintaan dalam jangka masa pendek.
Menurutnya, Kementerian Kewangan sedang menyediakan program rangsangan tersebut dan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berserta pelbagai agensi.
Kerajaan telah mengadakan sesi rundingan dengan beberapa peserta industri utama dalam sektor pelancongan, logistik, dan kewangan. Kementerian-kementerian tersebut juga telah mengadakan mesyuarat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan juga tabung dan syarikat berkaitan kerajaan.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik dalam membendung wabak Covid-19 di Malaysia, tanpa menimbulkan rasa cemas di khalayak ramai walaupun sering dilanda berita palsu.-Bernama