Ratusan ikan terdampar di Pantai Bari

Iklan
Wan Zurafifah (kanan) menunjukkan ikan kecil yang terdampar di Pantai Bari, Setiu.

SETIU - Penemuan ratusan ikan terdampar sepanjang kira-kira satu kilometer (km) di pesisir Pantai Bari, di sini menarik perhatian orang ramai sekali gus menjadi rezeki buat mereka.

Seorang pengunjung, Wan Zurafifah Wan Zulkifli, 26, berkata, dia menyifatkan fenomena itu sebagai pengalaman baharu buatnya kerana kali pertama berlaku sepanjang mengunjungi pantai berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ini kali pertama saya lihat sendiri depan mata ratusan ikan kecil terdampar di pesisir pantai, sebelum ini saya hanya membaca kejadian sebegini melalui laporan akhbar dan media sosial.

"Berdasarkan maklumat yang disebarkan, ada yang mengatakan orang dulu-dulu percaya ia merupakan petanda banjir besar, namun saya masih meragui kesahihan maklumat tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Bari di sini, pada Ahad.

Iklan

Bagaimanapun, menurut seorang penduduk, Deraman Jusoh, 66, fenomena tersebut bukanlah petanda bencana alam sebaliknya ikan-ikan itu dipercayai berasal daripada ikan baja atau ikan kecil yang memasuki pukat nelayan dan dihanyutkan ombak.

"Ramai orang salah tafsir kalau jumpa dengan fenomena seperti ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang kali pertama melihat dan terserempak dengan kejadian begini.

Iklan

Menurutnya, kebanyakan ikan yang dihanyutkan ke pesisir pantai itu masih segar dan menjadi rezeki buat pengunjung yang kebetulan berada di kawasan itu.

Gambar ikan yang dikongsikan melalui akaun Facebook Aini Syahiza pada Sabtu.

Deraman berkata, penduduk kampung yang tinggal di pesisir pantai akan mengutip ikan tersebut untuk dijadikan ikan kering.

"Biasanya kejadian ikan-ikan ini dihanyutkan ombak ke pesisir pantai berlaku ketika musim tengkujuh kerana aktiviti memburu 'udang oke' ini hanya dilakukan dalam tempoh tersebut.

"Ikan-ikan yang dibuang ke laut ini adalah ikan yang tidak memenuhi piawaian nelayan kerana saiznya yang kecil," ujarnya yang berpengalaman lebih 40 tahun ke laut.

Sebelum ini, fenomena ratusan ikan terdampar di pantai berkenaan dikongsikan menerusi akaun Facebook Aini Syahiza.

Menurutnya, fenomena ikan-ikan kecil terdampar di sepanjang pantai bermula dari Pantai Mangkuk sehingga ke Pantai Bari merupakan sesuatu yang jarang berlaku.