Tanah lapang awam perlu diwarta segera - KPKT

Iklan
Kor Ming (kiri) ketika meninjau ruang pameran sempena pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 dan Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 untuk Jabatan Landskap Negara di Taiping pada Ahad.

TAIPING - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakan proses pewartaan tanah lapang awam di kawasan masing-masing bagi mengelak disalah guna.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia), ketika ini terdapat 20,868 hektar tanah lapang awam di seluruh negara yang boleh dibangunkan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu hanya 39 peratus telah diwartakan manakala selebihnya belum diwartakan.

"Saya dah arahkan semua PBT untuk lakukan pewartaan ini tahun depan supaya tanah itu dapat dijadikan tapak sesuai yang boleh diberi peruntukan oleh Jabatan Landskap Negara dan Jabatan Kerajaan Tempatan untuk dibangunkan sebagai 'open space' kegunaan komuniti setempat.

Iklan

"Dulu oleh kerana tidak diwartakan telah memberi ruang dan peluang disalah guna termasuklah dijadikan komersial membina kedai dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 dan Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 untuk Jabatan Landskap Negara di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad.

Kor Ming berkata, secara dasarnya, tanah lapang awam diserahkan oleh pihak swasta dan pemaju dengan menyediakan suatu kawasan lapang dan dirizabkan sebagai kegunaan awam di kawasan yang dibangunkan.

"Tanah ini telahpun diserahkan oleh pihak swasta jadi PBT kena kemukakan kepada Pejabat Tanah supaya kawasan ini dapat diwartakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berkata, KPKT menerusi Jabatan Landskap Negara berjaya membangunkan 109 projek pembangunan landskap di seluruh negara melibatkan perbelanjaan RM51.9 juta.

Menurutnya, antara projek fizikal yang siap dibangunkan tahun ini adalah pembangunan taman awam wawasan di Kepala Batas, landskap perbandaran Pekan di Pahang dan Dungun di Terengganu.

"Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan RM96 juta untuk Jabatan Landskap Negara yang merupakan terbesar bagi pembangunan landskap dalam tempoh 10 tahun.

"Antara projek baharu yang diperuntukkan tahun hadapan termasuklah pembangunan Taman Botani Labuan dengan kos RM5 juta, projek pelan induk landskap iaitu di Majlis Daerah Yan dan Majlis Daerah Kuala Pilah masing-masing RM1 juta.

"Juga projek pemuliharaan Taman Tasik Taiping dengan peruntukan RM10 juta," katanya.