IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengambil tindakan ke atas seorang pegawainya yang mengkritik Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook.
JAIPk dalam kenyataannya mengakui amat kesal dengan kenyataan yang dimuat naik melalui aplikasi media sosial itu berhubung dengan kenyataan Menteri Pendidikan berkaitan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Iklan
Iklan
"Pihak jabatan akan mengambil tindakan yang tegas selaras dengan Peraturan 19(1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 supaya ianya menjadi pengajaran kepada penjawat awam yang lain dan lebih beretika dalam mengendalikan laman sosial.
"Pihak jabatan memohon maaf kepada semua pihak berhubung isu ini dan akan mengambil langkah tegas untuk memastikan perkara sama tidak berulang lagi," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.
JAIPk menegaskan segala perkataan dan kenyataan yang dikeluarkan atas pandangan peribadi pegawai terbabit dan tidak sama sekali mewakili jabatan berkenaan.
Sebelum ini hantaran yang dibuat pegawai itu didedahkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mempersoalkan ulasan dibuat pegawai terbabit.
Susulan itu juga, pertemuan dibuat dengan pegawai berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berkaitan hantaran tersebut dan kemudian memuat naik video permohonan maaf oleh pegawai terbabit.