SYOR Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Pulau Batu Puteh supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad harus menjadi pengajaran kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan supaya tidak mengambil mudah soal kedaulatan negara.
Dalam keputusan 5-2, suruhanjaya itu berpendapat tindakan Dr Mahathir menarik balik rayuan Malaysia terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tiga minggu sebelum kes itu didengar pada 2018 adalah satu perbuatan jenayah kerana menyebabkan negara kehilangan pulau berkenaan kepada Singapura.
Dr Mahathir sebelum ini memberi alasan tindakan pembatalan itu berikutan mematuhi perjanjian dengan Singapura untuk menerima segala keputusan ICJ berhubung tuntutan tersebut.
Jika Malaysia mungkir janji, Indonesia juga katanya boleh membuat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian sama berkaitan Pulau Sipadan dan Ligitan yang telah diserahkan oleh ICJ kepada Malaysia pada 2002.
Malaysia sebelum ini memfailkan rayuan tersebut selepas menemui bukti-bukti baharu berupa surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.
ICJ dengan keputusan 12-4 pada Mei 2008 menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Kehilangan pulau seluas sebuah padang bola sepak itu perlu dinoktahkan sebagai sejarah hitam terakhir negara.
Apatah lagi Malaysia masih terlibat dalam pertikaian wilayah serta tuntutan bertindih termasuk zon maritim bersama negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.
Isu kedaulatan adalah sangat sensitif. Kerana itulah Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia tahun lalu mencetuskan kontroversi sehingga kerajaan terpaksa menafikan telah menyerahkan blok Ambalat kepada Indonesia.
Zon Ambalat berkeluasan 15,235 kilometer persegi yang dipertikaikan dikatakan memiliki potensi simpanan 764 juta tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas bernilai trilion ringgit.
Justeru, syor penambahbaikan oleh suruhanjaya itu termasuk cadangan agar Majlis Keselamatan Negara mengambil tanggungjawab penuh terhadap apa-apa isu kedaulatan pada masa hadapan, wajar dilaksanakan.
Kerajaan harus memberi keutamaan kepada syor berkenaan supaya setiap inci kedaulatan negara dapat dipertahankan, dan bukan menyasarkan Dr Mahathir semata-mata.