GUS Miftah, seorang penceramah terkenal Indonesia letak jawatan sebagai Utusan Khas Presiden Prabowo selepas video yang menunjukkan dia mempersenda seorang penjual teh ais semasa ceramah di Magelang, Jawa Tengah bulan lalu, mendapat kritikan meluas.
Gus Miftah telah memohon maaf ketika mengunjungi rumah penjual itu dan kedua-duanya berdamai. Namun nasi sudah menjadi bubur. Bertahun masa yang dihabiskan untuk menaikkan namanya, jatuh hanya dalam sehari.
Merak Jalanan berharap perbuatan Gus Miftah itu cuma bercanda dan bukan dari isi hatinya seperti diperkatakan sesetengah orang.
Sungguhpun begitu, pesan Merak Jalanan, jagalah adab dan pertuturan terutama bila sudah diberi sesuatu kelebihan. Menghina orang lain tidak akan menjadikan kita lebih baik.
Perbuatan menghina bermula bila diri terasa serba-serbi bagus berbanding orang lain. Ini terjadi kepada kita semua, bukan Gus Miftah sahaja.
Kalau dia geng masjid, dia rasa dirinyalah yang paling soleh dan banyak amalan, orang lain sedikit.
Dalam kehidupan, pekerjaannyalah yang lebih baik, gajinya lebih tinggi dan hartanya lebih banyak.
Dalam politik, dirinya sajalah lebih pandai mentadbir, lebih banyak formula dan terlebih hebat berkata-kata.
Lebih malang, penyakit hilang adab ini turut menjangkiti kalangan agamawan. Hanya dengan gelaran dan segulung ijazah di tangan, mereka sudah berasa seperti ulama besar, hingga sesuka hati mencerca, merendah-rendahkan bahkan menyesatkan orang lain yang tidak sejalan dengannya.
Banyak tahu belum tentu hebat kerana AI jauh lebih bermaklumat. Yang membezakannya adalah adab. Ikutlah resmi padi semakin berisi semakin tunduk ke bumi.
Untuk menjadi manusia beradab perlukan tarbiah yang panjang. Sebab itulah ada ulama dahulu memberitahu mereka belajar adab selama 30 tahun dan mempelajari ilmu 20 tahun. Ambillah iktibar daripada insiden Gus Miftah ini.