Masih ada pemilik lembu, kerbau degil: Exco NS

Iklan
Beberapa ekor lembu yang dibiarkan berkeliaran di parkir sebuah kawasan perumahan sekitar Mantin.

SEREMBAN – Masih ada pemilik lembu dan kerbau di kawasan Mantin yang degil kerana membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di tempat awam.

Exco Sumber Manusia, Perladangan, dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata, aduan diterima pihaknya bertambah meskipun peringatan telah pun diberikan sejak tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Selepas kita uar-uarkan operasi tangkapan secara besar-besaran yang akan dibuat, semakin banyak pula aduan yang kita terima.

"Nampaknya pemilik haiwan ini masih degil dan mementingkan diri sendiri kerana membiarkan ternakan mereka berkeliaran di tempat tak sepatutnya,” katanya pada satu sidang media di Wisma Negeri, semalam.

Iklan

Justeru itu, beliau berkata, Majlis Perbandaran Nilai(MPN) akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk cari penyelesaian terbaik.

Buat masa ini, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) berdepan kekangan kerana pengangkutan dimiliki tak sesuai untuk bawa haiwan yang ditangkap.

Iklan

"Kita perlu lori yang besar untuk angkut semua haiwan ini. Kita ingat bila kita beritahu tindakan yang akan diambil, pemilik lebih bertanggungjawab tapi ia sebaliknya.

"Saya percaya pihak berkaitan akan fikirkan penguatkuasaan lebih baik selepas ini,” katanya.

Tahun lalu, menerusi laporan Sinar Harian, Arul berkata, dua pelajar meninggal dunia akibat terlanggar lembu semasa melalui jalan dari Desa Pinggiran Bayu, Mantin ke Kampung Sungai Jai pada 14 September lalu.

Katanya, pada 8 Oktober pula, empat ekor kerbau dijumpai mati di hadapan Sekolah Kebangsaan Mantin kerana dilanggar kenderaan.

"Di kawasan Mantin ini, saya dapat maklumat ada tiga pemilik haiwan ternakan yang degil. Bila kita tanya haiwan siapa, tidak mahu mengaku.

"Selepas ini, kita akan tangkap haiwan ternakan yang berada di tempat tak sepatutnya dan pemiliknya akan dikenakan kompauan,” katanya.