TUMPAT - Anggota dan ahli keluarga polis yang terjejas dengan banjir teruk di negeri ini akan di tempatkan di penginapan sementara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, situasi itu bagi membolehkan anggota terlibat membersihkan rumah mereka selepas ditenggelami banjir.
"Jadi buat sementara waktu mereka mungkin tinggal di tempat lain dahulu.
"Semasa kejadian banjir mereka semua bertugas dan tidak sempat selamatkan apa-apa pun kerana air naik terlalu cepat terutama yang tinggal di Taman Sri Bayu," katanya ketika sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu, beliau bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turun padang melawat kediaman anggota polis yang terjejas banjir di Taman Sri Bayu di sini.
Menurut beliau, kesemua 88 anggota yang tinggal di taman perumahan tersebut terjejas teruk sehingga tiada yang dapat diselamatkan.
Ujarnya, selain menyediakan penginapan sementara, bantuan juga akan turut diberikan.
Dalam pada itu, Ayob Khab berkata, anggota polis yang terjejas banjir di Kelantan melibatkan 469 keluarga iaitu 1,500 mangsa.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan merekodkan kerugian sebanyak RM1.55 juta selepas beberapa balai dan pondok polis ditenggelami banjir.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia meliputi 10 balai dan empat pondok polis yang tenggelam dan tidak dapat beroperasi sehingga kini.
Ujarnya, jumlah itu adalah anggaran awal untuk gelombang banjir pertama di Kelantan sahaja memandangkan saya tidak mempunyai maklumat berkaitan negeri lain.