Cukai taksiran Selangor naik 25 peratus mulai Januari 2025

Iklan
Suee Lim pada sidang akhbar pelaksanaan penilaian semula cukai taksiran PBT Selangor pada Isnin.

SHAH ALAM - Selangor akan menaikkan cukai taksiran sehingga 25 peratus berkuat kuasa 1 Januari depan selepas 20 tahun.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, nilaian baharu itu diluluskan kerajaan negeri selepas penangguhan pelaksanaannya pada 2019.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil langkah untuk mengawal kesan penilaian semula cukai taksiran sebagai prihatin dengan kebimbangan rakyat berhubung perkara itu.

"Dengan meluluskan kenaikan cukai sehingga 25 peratus, pemilik harta menikmati diskaun 75 peratus bagi kenaikan melebihi 100 peratus.

Iklan

"Sebagai contoh, jika cukai taksiran rumah pangsapuri dibayar pada 2024 berjumlah RM100 setahun, ia akan menjadi RM200 selepas penilaian semula cukai taksiran.

"Namun, melalui kawalan kenaikan taksiran sehingga 25 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan negeri menjadikan jumlah yang perlu dibayar pada tahun depan adalah RM125 setahun berbanding RM200," katanya pada sidang akhbar diadakan di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

Iklan

Bagaimanapun, Suee Lim berkata, bagi pegangan yang membuat perubahan matan atau kegunaan bangunan akan dinilai seperti mana nilai tapak dan tiada pengurangan diberikan.

Selain itu jelasnya, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif mengecualikan cukai taksiran kepada pemilik rumah kos rendah lebih 300,000 pegangan membabitkan kutipan RM60 juta.

"Kerajaan negeri juga membuat pengecualian cukai taksiran bersasar kepada penduduk kampung tradisi dan kampung baru yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Setakat ini hampir 3,000 penduduk diberikan pengecualian itu dan menyasarkan jumlah itu ditingkatkan kepada 5,000 pemilik,"ujarnya.

Tambah beliau, langkah nilaian baharu itu sejajar Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] iaitu senarai satu nilaian baharu hendaklah disediakan oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap lima tahun.

Katanya, senarai nilaian sedia ada Majlis Daerah Sabak Bernam (MBSB) masih mengguna pakai aras sewaan 1986 atau bersamaan 38 tahun, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun manakala sembilan PBT lain melebihi 20 tahun.

"Melalui nilai baharu ini, 11 PBT di Selangor akan mendapat lebihan kutipan cukai taksiran RM355 juta selepas kenaikan 25 peratus.

"Wang tersebut boleh digunakan untuk naik taraf infrastruktur seperti longkang dan dewan selain menampung peningkatan kos pengurusan kutipan sampah serta keperluan lain," katanya.