Bekas mat rempit pilih jalan keluar sertai pameran motosikal

Iklan
Muhammad Haziq bangga menunjukkan hasil kejayaannya selepas terlibat dalam aktiviti ubah suai motosikal.

IPOH - Pengalaman pahit terjebak aktiviti 'mat rempit' sewaktu remaja mendorong seorang pemuda memilih jalan lain yang lebih selamat dalam bidang permotoran.

Muhammad Haziq Shamsul Anuar, 24, dari Tanjung Rambutan di sini membuat keputusan untuk terlibat dalam pengubahsuaian motosikal bagi tujuan pameran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, minat terlalu mendalam dalam bidang permotoran menyebabkan dia tidak dapat lari daripada dunia motosikal biarpun pernah berdepan detik-detik hitam.

Mazlan melihat lebih dekat motosikal yang dipamerkan ketika program Letup Mega Fest di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

"Dahulu memang saya mat rempit, pernah berlumba malam minggu sampaikan saya terpaksa lari tinggalkan motosikal sebab nak selamatkan diri. Tapi bila difikirkan balik, tak berbaloi untuk saya teruskan aktiviti itu.

Iklan

"Jadi mulai tahun 2016, saya ubah minat dari berlumba kepada mengubah suai motosikal untuk saya sertai pertandingan dan pameran. Alhamdulillah, ia merubah hidup saya sekarang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Letup Mega Fest di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Sebahagian peserta yang hadir bagi aktiviti permotoran sempena Letup Mega Fest di pekarangan Stadium Indera Mulia pada Ahad.

Muhammad Haziq yang bekerja sendiri berkata, sejak menyertai pelbagai acara pameran dalam tempoh tujuh tahun sehingga kini, sebanyak 37 piala sudah dimenangi melibatkan pelbagai kategori.

Iklan

Lebih istimewa lagi, minat baharunya itu juga mendapat restu ibunya yang menyokong sehingga hembusan nafas terakhir.

"Ibu saya baru meninggal dunia 25 Jun lalu. Tapi sebelum itu pada 9 Jun, dia ikut saya sertai sebuah acara motorshow dan saya menang beberapa kategori. Itulah kali terakhir ibu lihat saya menang dan kenangan itu tak akan dilupakan.

"Bila buat ubah suai ini, saya dapat kepuasan sebab hasil kreativiti kita dihargai dan ia bukan satu kesalahan. Saya akan teruskan minat ini sampai bila-bila," katanya yang sudah berhabis ribuan ringgit mengubah suai motosikal Modenas Dinamik 120.

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Mazlan Abdul Rahman yang merasmikan program tersebut menyambut baik aktiviti permotoran sedemikian.

Jelasnya, program tersebut menyerlahkan bakat dan kreativiti anak tempatan dalam bidang permotoran sekali gus berpotensi menjadi tarikan kepada golongan muda melakukan aktiviti berfaedah.

Bagi penganjur, Sari Wahida Aini Mohd Hazamuzakar, penganjuran aktiviti permotoran tersebut menjadi acara penting bagi Letup Mega Fest dalam setiap jelajah di negeri-negeri.

Menurutnya, bagi edisi di Perak, seramai 1,000 peserta menyertai acara tersebut bagi merebut 80 kategori yang dipertandingkan.