Penduduk bina lebih 10 khemah atas bukit

Iklan
Khemah yang dibina penduduk sebagai persediaan menghadapi banjir gelombang kedua. Gambar kecil: Abd Samad

KUALA KRAI - Penduduk di Kampung Pasir Era di sini bergotong-royong membina lebih 10 khemah di atas bukit sebagai persediaan kemungkinan banjir gelombang kedua yang dijangka lebih besar.

Penghulu Mukim Kuala Nal, Abd Samad Che Yajid berkata, kesemua khemah itu mampu menampung kira-kira 500 penduduk dari empat kampung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kampung terlibat ialah Kampung Kuala Nal, Kampung Pasir Era, Kampung Kelubi dan Kampung Kuala Hau.

Abd Samad menunjukkan khemah yang dibina menggunakan kayu dan kanvas secara bergotong-royong.

"Alhamdulillah, ketika banjir gelombang pertama, kami tidak perlu memanjat bukit ini tetapi terkepung selepas banyak kawasan ditenggelami air," katanya.

Iklan

Abd Samad memberitahu, selain khemah milik penduduk, ada juga yang dibina secara bergotong-royong menggunakan kayu, papan lapis dan kanvas.

Jelasnya, pembinaan khemah yang ditanggung sendiri oleh penduduk siap dalam tempoh dua hari dan dilengkapi dengan tempat memasak.

Iklan

"Kita tidak mengehadkan keluasannya kerana ada penduduk yang mempunyai ramai ahli keluarga untuk keselesaan mereka berlindung," katanya.

Jelasnya lagi, pembinaan tempat berlindung itu dilakukan berdasarkan pengalaman pada 2014 kerana ada yang hanya menaiki bukit tanpa sebarang keperluan berikutan tidak sempat melakukan persiapan.

Abd Samad berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada penduduk kampung agar warga emas dan pesakit ditempatkan lebih awal di rumah ahli keluarga di kawasan atau daerah lain yang lebih selamat.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan menaik taraf dewan serba guna sedia ada di kampung berkenaan bagi membolehkan mangsa banjir berlindung di situ.

"Sekurang-kurangnya ada mangsa banjir yang boleh tinggal di dewan itu sebelum usaha menyelamat dilakukan.

"Kami semua turut berharap kerajaan menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) yang kekal di kampung ini supaya tidak hanya bergantung kepada satu PPS sahaja di luar kampung ini," katanya.