ICC perlu tangkap, dakwa Bashar

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai pengumuman kejatuhan Bashar al-Assad, semua tahanan dibebaskan. Muzaffar Syah Mallow (kanan).

SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengadakan mesyuarat khas mengenai segala tragedi kemanusiaan yang berlaku di Syria serta membawanya ke pengetahuan dan siasatan statut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berpandangan, langkah itu penting kerana mampu memberi peringatan kepada pihak yang terlibat dalam konflik di negara itu supaya tidak melanggar peruntukan undang-undang antarabangsa, khususnya aspek perlindungan orang awam.

Iklan
Iklan

"Bashar al-Assad (Presiden Syria yang digulingkan) bertanggungjawab sepenuhnya mengikut lunas undang–undang antarabangsa untuk melindungi hak serta keselamatan rakyatnya sendiri.

"Jika pihak ICC boleh mengeluarkan waran tangkap ke atas Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu atas pertuduhan jenayah perang dan kemanusiaan, kenapa tidak lakukan perkara sama terhadap Bashar yang telah melakukan pelbagai jenis jenayah perang dan kemanusiaan terhadap rakyat Syria," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, rejim Baath yang telah memerintah Syria selama 61 tahun tumbang pada Ahad apabila ibu negara Damsyik jatuh daripada kawalan rejim.

Dalam pada itu, Muzaffar berpendapat, Bashar perlu ditangkap dan didakwa di ICC atas kesalahan jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan tenteranya.

Iklan

Menurut beliau, rakyat Syria tidak lagi mengenali keamanan akibat konflik dalaman antara tentera kerajaan yang ingin kekal berkuasa dengan Tentera Pembebasan Syria.

"Akibat daripada konflik berpanjangan, ramai rakyat negara itu menjadi mangsa korban khususnya orang awam, kaum wanita dan kanak–kanak.

"Berjuta–juta rakyat Syria terpaksa melarikan diri ke negara berhampiran sebagai pelarian bagi menyelamatkan diri dan pada masa sama, ada yang terpaksa memilih untuk tinggal di Syria," ujarnya.