Siap sedia hadapi gelombang kedua banjir - Al-Sultan Abdullah

Iklan
Al-Sultan Abdullah (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Shahbuddin (dua dari kiri) dalam majlis tersebut di PR1MA Bukit Lada, Temerloh pada Isnin.

TEMERLOH - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan dan rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan gelombang kedua banjir di negara ini.

Titahnya, semua pihak perlu berhati-hati dan cakna dengan persekitaran khususnya mereka yang tinggal berdekatan sungai dan tali air kerana kawasan itu mudah dinaiki air.

Iklan
Iklan

"Saya dimaklumkan berdasarkan ramalan cuaca hujan mungkin turun secara berterusan minggu ini, hujung tahun pun air pasang laut akan meningkat.

"Jadi kita perlu terus berdoa agar cuaca bertambah naik dan musibah banjir tidak berlaku dengan teruk di Pahang," titahnya.

Iklan

Baginda bertitah selepas berkenan berangkat bercemar duli pada Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'Rasa) Daerah Temerloh di Projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bukit Lada di sini pada Isnin.

Al-Sultan Abdullah ketika ditemui pemberita sempena program tersebut.

Dua penerima rumah tersebut iaitu Suzaini Bachik, 48, dari Kampung Bukit Lada dan Shahbuddin Md Rashid, 57, dari Kampung Benom menerima replika kunci yang disampaikan oleh baginda dalam majlis tersebut.

Iklan

Dalam pada itu, baginda bertitah sebanyak 790 unit rumah meliputi fasa satu, dua dan tiga dibina bagi membantu golongan miskin di Pahang.

"Bagi fasa dua, difahamkan ia melibatkan pembinaan sebanyak 260 unit rumah dan setakat ini di Temerloh dua buah rumah telah siap, berbaki 18 lagi.

"Pembinaan rumah dengan kerjasama negara Emiriyah Arab Bersatu atas dasar persaudaraan ini dijangka akan berterusan dalam usaha membantu golongan memerlukan di Pahang," titahnya.