IPOH - Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dijangka dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak yang baharu menggantikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Difahamkan keputusan tersebut telah dicadangkan di dalam mesyuarat PH Perak pada 6 Disember lalu membabitkan beberapa pimpinan tertinggi PH Perak menerusi gabungan DAP, Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Shamsul Iskandar akan dibantu empat Timbalan Pengerusi PH Perak iaitu Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri dan Pengerusi UPKO Perak, Datuk Suki Mee.
Sementara itu, Mohamad Hairul Amir ketika dihubungi memaklumkan perkara itu masih belum dimuktamadkan meskipun telah diangkat dalam mesyuarat.
Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut tertakluk kepada pimpinan tertinggi PH pusat.
Dalam pada itu, Suki Mee berkata, lantikan semua pengerusi parti komponen PH di peringkat negeri sebagai Timbalan Pengerusi PH merupakan amalan yang dipersetujui di semua negeri.
Katanya, ia merupakan ketetapan yang telah dibuat di dalam mesyuarat agung PH yang lalu bahawa pengerusi negeri bagi DAP, PKR, Amanah dan UPKO secara automatik dilantik sebagai timbalan pengerusi PH negeri.
Untuk rekod, Mujahid yang merupakan bekas Ahli Parlimen Parit Buntar sebelum ini dilantik menerajui PH Perak sejak tahun 2021.