Sindiket seludup serbuk tembakau RM300,000 tumpas

Iklan
Muhammad Ilyas (tengah) menunjukkan serbuk tembakau yang dirampas.

SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan serbuk tembakau selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor pada bulan lalu.

Hasil serbuan pada 20 November kira-kira jam 1 petang itu, pihaknya merampas serbuk tembakau dianggarkan seberat 3,580 kilogram (kg) bernilai RM361,962.25.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Unit Operasi Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan susulan risikan dilakukan.

"Pemeriksaan telah dilakukan pada sebuah kontena dari India dan setelah dibuka pintu kontena terbabit, pasukan menemui sejumlah 85 kotak makanan ringan dan lima peti minuman ringan pelbagai jenama disusun di bahagian hadapan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah 716 kotak atau 3,580kg serbuk tembakau disusun di bahagian dalam kontena," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Seremban 2.

Menurutnya, serbuk tembakau berkenaan dianggarkan bernilai RM361,962.25 dengan nilai cukai RM252,905.97 yang mana jumlah keseluruhan dianggarkan RM614,868.22.

Iklan

Ujarnya, seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang merupakan pekerja perkapalan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran tidak benar terhadap dagangan yang memerlukan permit import," katanya.

Beliau berkata, kesemua barang kes bersama kontena disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kes ini sedang disiasat dan jika sabit kesalahan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

"'Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih besar.

"Dan ia tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar atau dipenjarakan selama tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Tegasnya, tembakau adalah barangan larangan di mana pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran 66 Bahagian 1 Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.