Dewan Rakyat lulus RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024

Iklan
Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 yang antara lain memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.

Pindaan terhadap Akta Profesion Undang-Undang 1976 itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 10 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata, melalui kuasa itu, Ketua Audit Negara dapat menjalankan audit secara berkala, memastikan semua transaksi kewangan dijalankan dengan betul dan mengikut prosedur ditetapkan.

"Langkah ini amat penting untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan lembaga terbabit sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pindaan itu juga membenarkan penubuhan firma guaman sebagai perkongsian liabiliti terhad selaras dengan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

Selain itu, pindaan turut membenarkan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam menubuhkan satu atau dua cawangan dalam mana-mana negeri di luar pejabat utama.

Iklan

Azalina berkata, pindaan akta itu penting dalam memastikan profesion undang-undang di Malaysia kekal relevan, berdaya saing dan terus maju seiring dengan perkembangan semasa. - Bernama