PETALING JAYA – Dalang utama yang terlibat kes membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi 'counter setting' atau 'laluan kaunter khas' akan didakwa dalam tempoh masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dua individu terbabit merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia telah ditahan sebelum ini.
"Sekiranya semuanya berjalan mengikut perancangan, kes ini mungkin akan dibawa ke mahkamah pada bulan Disember.
"Jika tidak, kemungkinan pendakwaan akan ditangguhkan sehingga awal tahun hadapan, semua ini bergantung kepada pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya (DPP)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas perasmian penutup Hari AntiRasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Kelana Jaya pada Isnin.
Sinar Harian pada 18 September lalu melaporkan seramai 50 penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi 'counter setting' atau 'laluan kaunter khas'.
Daripada jumlah itu, sebanyak 49 penguat kuasa terlibat adalah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang lagi merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tangkapan melibatkan seramai 12 orang pegawai JIM itu dibuat di Selangor, Negeri Sembilan (8), Kuala Lumpur (6) Pahang (6), Johor (4), Melaka (4), Bahagian Perisikan (9) serta seorang Sarjan wanita PDRM di Kuala Lumpur.
Selain penguat kuasa di dua agensi ditahan dalam Op Pump, SPRM turut menahan 10 ejen sindiket berhubung kes 'counter setting' ini.