KUANTAN – Kedudukan rumah berhampiran Sungai Belat menyebabkan seorang warga emas di Kampung Sri Damai di sini terpaksa menempuh 36 kali banjir sepanjang 39 tahun menetap di kawasan tersebut.
Samsudin Abd Shukor, 72, yang bekerja sendiri berkata, keadaan ini telah menjadi sebahagian daripada rutin hidup keluarganya sejak 1985 terutama setiap kali musim tengkujuh melanda.
Menurutnya, limpahan air daripada Sungai Belat sering menjadi punca utama banjir di kawasan rumahnya sehingga membuatkan penduduk di perkampungan itu perlu berpindah.
"Sepanjang 39 tahun saya tinggal di sini, sudah 36 kali saya alami situasi banjir. Cuma ada tiga tahun sahaja kami tidak terkena banjir.
"Boleh dikatakan hampir 15 kali saya berada di PPS (pusat pemindahan sementara) di balai raya lama dan selebihnya balai raya baharu di sini, maksudnya sudah lima kali wakil rakyat bertukar tapi saya masih alami masalah banjir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Damai di sini pada Isnin.
Bapa kepada lima anak itu berkata, dalam kejadian terburuk pada tahun 2021, air naik setinggi 2.13 meter (m) berbanding pada kebiasaannya sekitar 1.22 m.
Ujarnya, setiap kali banjir, dia akan berpindah ke PPS seperti yang dinasihati pihak keselamatan.
"Tapi, ada juga anak-anak yang tinggal untuk menjaga rumah kerana kami ada bot untuk kegunaan kecemasan," katanya yang memiliki 10 orang cucu.
Bagi suri rumah, Nurul Hanim Mat Johari, 44, pula berkata, banjir sudah menjadi rutin tahunan sejak dia berpindah ke rumah sendiri sekitar tahun 2008.
Jelasnya, walaupun rumahnya dibina setinggi 1.85 meter, namun dia tetap berdepan bencana tersebut.
"Dulu masa menyewa, rumah kami tak kena banjir. Tapi bila pindah ke rumah sendiri, setiap tahun mesti banjir.
"Bezanya cuma paras air, sama ada tinggi atau rendah,” katanya.
Bercerita pengalaman terdahulu, ibu kepada dua anak itu berkata, kejadian banjir pada 2021 meninggalkan kesan yang mendalam apabila air setinggi 3.66 m memasuki rumahnya.
Menurutnya, semua barang yang disimpan tempat tinggi turut musnah dalam kejadian terbabit sekali gus berdepan kerugian ribuan ringgit.
"Tahun ini nampaknya keadaan pun teruk, jadi kami lebih bersedia dengan memastikan kenderaan dipindahkan ke tempat tinggi dan barang penting disimpan di lokasi selamat,” katanya.
Senada dengannya, pekerja sendiri, Mohd Fauzi Wahab, 51, mengakui sudah terbiasa dengan keadaan ini.
"Kami dah bersedia dari segi dokumen penting dan bekalan makanan. Bila nampak air dari Sungai Belat mula naik, kami tahu banjir tak akan lama, mungkin dua atau tiga hari sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Damai, Mohamad Amerudin Mat Esa berkata, pihaknya telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Menurutnya, keadaan cuaca dan paras air sungai dilakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk dapat dipindahkan segera.
"Jika hujan lebat, saya akan mengarahkan ahli jawatankuasa untuk memastikan telefon mereka sentiasa aktif supaya gerak kerja bantuan dapat diatur segera bagi membantu penduduk kampung,” katanya.