IPOH - Hakim Mahkamah Tinggi di sini menegur peguam pemerhati yang mewakili keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dalam perbicaraan kes bunuh pelajar itu kerana tidak pernah hadir pada prosiding sebelum ini.
Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat teguran itu apabila peguam Syaheera Rosli daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak hadir ke mahkamah hari ini pada prosiding kes itu yang masuk hari ke-15.
Iklan
Iklan
Syaheera memaklumkan beliau baru sahaja menerima fail kes itu dan akan memohon maaf kepada keluarga mangsa serta berjanji untuk menghadiri prosiding selepas ini.
Terdahulu, Bhupindar Singh berkata, pihaknya perlu berbuat demikian kerana berpendapat semua pihak dalam kes itu harus menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Di kandang tertuduh ialah seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden iaitu Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang berdepan pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin manakala Mohd Nazri diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman. - Bernama