KUANTAN - Bekas model dan pelakon terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, mendapat perintah perlindungan (IPO) selepas Mahkamah Majistret Kuantan di sini membenarkan permohonannya dalam prosiding yang berlangsung pada Isnin.
Peguam yang mewakili Zahnita, Datuk Zaharman Zainal Abidin berkata, keputusan itu diputuskan Majistret Wahida Zainal Abidin.
Iklan
Iklan
Menurutnya, IPO merupakan peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anaknya dan saudara maranya.
"Perintah mahkamah itu dipohon di bawah Seksyen 5 dan 6 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi menghentikan suami daripada meneruskan kelakuan ganas terhadap mangsa.
"Menerusi IPO ini, suami Zahnita yang sudah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323/326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 tidak boleh menghampiri mangsa dalam tempoh ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Difahamkan prosiding berkenaan turut dihadiri suami Zahnita, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor yang diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.
Abd Zackery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada 5 Disember lalu atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.